Saturday, September 29, 2007

Syuhada demokrasi dan budaya kagum

Ahmad Lutfi Othman

Sukar menjangka apa yang paling terkesan oleh setiap ahli parti yang berkunjung ke Kompleks PAS Kedah sempena muktamar lalu. Memang dewan persidangan dan hiasan dalamannya memukau, sementara muktamar kali ini dianggap penting untuk menjana semangat dan kekuatan baru berdepan pilihan raya umum ke-12.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Kehadiran tidak mengecewakan, malah sambutan ceramah Anwar Ibrahim bersama Tok Guru Nik Aziz dan Salahuddin Ayub menandakan Kedah tetap kubu PAS meskipun Ustaz Fadzil Noor tiada bersamanya lagi. Lebih penting penduduk sekitar terasa akan perhimpunan besar itu, tidak sepertimana muktamar di Kelantan selepas pilihan raya 2004 yang kelihatan kurang didekati masyarakat setempat.

Jika faktor Anwar menjadi pertimbangan utama untuk menentukan tarikh pilihan raya, ditambah persengketaan makin memuncak antara Mahathir dan Abdullah Badawi, countdown sudah boleh bermula kerana dijangka pilihan raya ke-12 nanti tidak akan melewati April 2008. Tentunya Umno-BN tidak mahu diasak ke dinding, justeru, perkiraannya lebih awal lagi, mungkin sekitar suku ketiga 2007, yakni tidak lebih 20 bulan lagi, satu tempoh yang relatif singkat.

Beberapa pemimpin PAS menyuarakan bahawa kekuatan parti harus bersandarkan potensi dalaman, bukan mengharapkan limpahan kekacauan dalam parti lawan. Benar dan benar sekali, namun seperti ucapan wakil Perak, Misbahul Munir Masduki, yang memetik The Art of War, bahawa seorang panglima yang bijak mesti memanfaatkan sumber dan tenaga musuh. Pilihan raya 1969, 1990 dan 1999 membuktikan krisis keyakinan kepada Perikatan dan BN menyumbang kemenangan oposisi.

Apa pun rezeki tidak datang menggolek atau hanya menurut giliran masa. Tidak semestinya pilihan raya yang tiada persempadanan semula akan membawa kejayaan. Kita harus mencipta sejarah dan bukannya mengulangi rutin. Misalnya, mampukah PAS Kedah yang jelas "dicincang" SPR khususnya di kawasan Parlimen (sehingga penguasaan lapan kerusi pada 1999 tinggal satu di Pendang) dapat membuat kejutan jika senario kini tidak berubah dan mood pengundi bukan Melayu terus terikat dengan BN?

Saya dapat memahami kemarahan wakil Kedah, yang juga bekas wartawan Harakah, Zulkifli Yahya yang tidak dapat menerima pendekatan lunak wakil Kelantan, Cikgu Wan Abd Rahim Abdullah. Baginya SPR hanyalah salah satu jentera kempen bagi Umno-BN dan tidak pernah bertindak bebas. Apabila saat memerlukan maka SPR tidak lebih perkakas dan alat BN, sedang di waktu berbeza pengerusinya bijak bersilat kata-kata. Dari awal saya kira Pengerusi SPR patut diusulkan untuk dipecat kerana Perlembagaan menggariskan beliau perlu mendapat kepercayaan umum.

Lontaran idea Misbah tentang budaya kagum aktivis dan pimpinan PAS terhadap kejayaan rakan-rakan gerakan Islam luar negara juga patut diberi perhatian. Apabila teman-teman di Turki menang kita berpaling ke sana, selepas PKS mencatat sejarah di Indonesia, pendekatan di sini pun mahu ditukar. Keadaan sama berlaku merujuk kemenangan Ikhwan di Mesir, Hamas di Palestin, juga Ahmadenijad di Iran.

Sambil mengakui keperluan untuk berubah dan belajar daripada orang lain, adalah wajar kita berpegang dengan tradisi dan pengalaman sendiri. PAS sudah cukup lama bergumpal, bergelut dan berperang di wilayah ini; usah mudah terpengaruh dan kaget dengan silauan kecemerlangan orang. Tokoh silam kita juga menyimpan permata untuk digali.

Isu pemerkosaan terhadap demokrasi kerap diulang tayang, namun jalan keluar masih dilingkari kekeliruan dan keserabutan. Apa lagi tiada keazaman politik yang tinggi untuk merubah. Memang segalanya serba sukar. Meragut kebebasan dan hak yang hilang perlu stamina berterusan, di samping arif benar pelbagai kaedah untuk merebutnya kembali.

Mungkin dalam hal ini kedegilan Mahathir menuntut setiap jawapan yang dicarinya boleh dicontohi. Atau apakah kita memerlukan pengorbanan syuhada atas perjuangan memulihkan demokrasi ini sebelum satu lonjakan baru tercapai?

II. Menagih ketangkasan mencipta perubahan

APA pun rumusan muktamar lalu, Kompleks PAS Kedah yang tersergam indah itu tetap berjaya menyuntik keyakinan baru, sekali gus memberi amaran akhir(!), buat pemimpin, aktivis dan anggota PAS, bagi mendepani cabaran dan gugatan yang lebih sengit sifatnya, selepas "disembelih hidup-hidup" pada pilihan raya Mac 2004.

Ahli-ahli di peringkat bawah sudah membuktikan, begitu juga para simpatisan yang banyak berkorban, dan Kedah Darulaman merakam sejarah unik parti. Banyak tragedi berakar di sini, sebut saja Memali, Lubuk Merbau, Muassasah Darul Ulum. Bukan lagi tinta emas yang melakarnya tetapi pena berdarah menunjuk arah!

Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor menjadi saksi sikap murah hati penyokong jamaah, dan kesediaan mereka untuk berkorban apa saja, asalkan segala sumbangan tidak disia-siakan. Kesederhanaan perwatakan Almarhum bekas Presiden PAs itu menjadi azimat penerus perjuangan, terutama buat warga Kedah, yang mengimpikan satu perubahan besar dalam pilihan raya akan datang.

Selain aroma kenduri kawah yang tidak mudah dilupakan, perbahasan perwakilan yang ditanggapi pelbagai pandangan (ada yang mendakwa hambar, tidak kurang mengkritik ucapan dasar itu sendiri), namun hakikatnya, beban yang tergalas di bahu pimpinan dan penggerak parti perlu dilunasi dalam kadar segera.

Suara kebimbangan serta gema kerisauan bukan bisikan dan rahsia lagi. Perubahan ditagih, kelesuan mahu dilenyapkan. Ahli-ahli menuntut rasa pertanggungjawaban kepemimpinanh, bukan saja untuk berani meredah risiko, tetapi tangkas dan bijaksana mengatur rentak dan langkah. Usah teragak-agak tapi elakkan gopoh melulu.

Slogan "Pulihkan demokrasi" jangan hanya tinggal slogan kosong tanpa pengisian mantap. Ramai mengakui perdebatan mengenainya hambar, malah ada mendakwa "hilang punca", tidak berjaya mencetuskan gelombang baru yang dinanti, dan mungkin ramai masih lelah tidak bertenaga untuk merubah realiti kekecewaan kepada persiapan mantap mental dan fizikal.

Menuntut padang sama rata sebelum pilihan raya ke-12 hanya mimpi jika segala potensi kekuatan tidak digembleng. Bagi saya, ia tugas paling sukar dan perit kerana penguasa tidak akan memberi ruang jika ilihat boleh menggugat kedudukan selesa mereka.

Perdana Menteri yang kini resah berdepan asakan Mahathir mungkin tidak memandang sebelah mata pun jika teriakan pembangkang (PAS) masih terperosok di markas-markas parti sedang rakyat terus tidak ambil peduli. Ya, siapa mahu ambil kisah tentang "demokrasi yang disembelih" kalau aktivis pembangkang sendiri jarang menghiraukannya, malah tidak bersatu hati mengenainya.

Mesej sudah disampaikan di muktamar lalu, yang tinggal, soalnya, siapakah yang akan bangun menyahutnya dahulu, jika mahu realiti sekarang tidak tinggal suram dan kelam, dan pilihan raya ke-12 akan terus merakamkan lagi kisah sedih buat pembangkang!

III. Hikmah uzur

BENAR, , tidak wajar masalah peribadi dihebohkan, apatah lagi soal sakit pening yang menjadi asam garam kehidupan. Tapi, itulah hakikatnya, selepas empat hari mengikuti muktamar di Kedah, negeri kedua terkuat buat PAS, saya terpaksa memendam rasa apabila terbaring keuzuran.

Cukup derita melihatkan begitu banyak isu politik muncul satu demi satu sedangkan pena kehilangan dakwat. Muktamar banyak menyimpan rahsia yang perlu diselongkar. Serangan Mahathir terhadap Abdullah Badawi bagaikan perisytiharan perang yang menagih korban. Dan pastinya senario politik muram sebelum ini akan bertukar wajah.

Dead-line Harakah tiba ketika denyut sakit di kepala memuncak. Segala catatan dan nota di Dewan Fadzil Mohd Noor, tidak mampu diluahkan kembali. Manakala rutin dua minggu sekali mengedit Harakah tidak tertunai. Pak Shukur Harun, Pengarang I, pula di hari akhir menjelang persaraannya. Kepada teman-teman, seperti LanH dan Rashidi Hassan, tugasan diagihkan.

Rasa tidak puas hati sesetengah perwakilan terhadap prestasi kepemimpinan parti, bagi saya, juga satu isyarat jelas bahawa Harakah perlu berubah, dan seperti kata Husam Musa, perlu diperkasakan. Sejarah mencatatkan, Harakah bukan lagi sekadar organ parti, malah akhbar alternatif buat semua. Justeru, petugasnya harus mampu menyahut cabaran memikul amanah berat itu.

Harakah lahir menjelang pemilihan April 1987 menyaksikan perang besar Team A - Team B. Jualannya meningkat mendadak selepas Anwar Ibrahim dipecat pada September 1998. Peranannya untuk menempatkan suara terpinggir cukup berkesan sekali. Dan tidak mustahil, selepas media milik pemerintah menggelapkan berita Mahathir nanti, apatah lagi memburukkannya, Harakah kembali dicari.

Bukan mahu mengadu-domba kerana Umno tidak memerlukan pihak luar untuk melaga-lagakan sesama mereka. Cukup untuk menyediakan gelanggang agar rakyat tidak sekadar membaca laporan sebelah pihak, apatah lagi yang didedahkan Mahathir (dan dijangka banyak lagi susulannya selepas ini, khususnya berkaitan Khairy?) adalah isu-isu kepentingan rakyat. Soal apa motif Mahathir bukan isunya kerana rakyat perlu maklumat jelas tentang perkara berbangkit.

Ya, sesekali baik juga tidak dibebani tugas menyusun bahan Harakah dari muka ke muka; sempat juga mencoret satu dua idea walaupun secara terlompat-lompat!

IV. Akhbar alternatif milik semua

Harakah lahir ketika PAS dirundung malang selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum 1986. Memang tidak terlalu sukar menerima kepedihan itu jika ia dijalankan secara bebas, adil dan telus. Namun ramai masih ingat bagaimana kempen BN secara tidak beradab, terutama memperalatkan media, termasuk kartun-kartun memburukkan PAS dan pemimpinnya.

Bukan mudah menerbitkan sebuah akhbar, apatah lagi ia organ parti.Alhamdulillah, Harakah berjaya meredah segala halangan, hambatan dan gugatan. Memastikan kandungannya mengikut kehendak parti, pemimpin dan anggotanya, memang satu hal yang sulit, sedangkan menguruskan Harakah dari segi kewangan dan pentadbiran ternyata lebih sukar.

Kejayaan Harakah mencapai kemuncak dalam era reformasi selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat tidak semudah disangka. Asas penerbitannya,yang diperkukuh 12 tahun sebelum itu, melalui liku-liku tajam. Di samping cerita kegemilangan, Harakah juga menyimpan seribu satu kisahduka dan pedih.

Apa pun, kini bukan masa untuk bernostalgia atau merintih pilu. Sekatan kebebasan bersuara langsung tidak berkurang walaupun perdana menteri bertukar ganti. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam diam dan tawamesranya, tetap menikam dan menekan.

Kekerapan Harakah yang dipancung menjadi dua kali sebulan seperti sukar dikembalikan, walaupun untuk terbit seminggu sekali. Soalnya, apakah pimpinan PAS sudah menggunakan segala saluran dan pendekatan untuk memastikan Harakah diterbitkan paling kurang dalam bentuk mingguan?

Memang Harakah lidah rasmi parti, namun tanggungjawab sosialnya sebagai akhbar alternatif no. 1 memerlukan komitmen lebih menyeluruh. Rakyat dinafikan hak untuk mendapat laporan media yang adil dan terbuka, semuanya dikongkong dan dipasung. Harapan rakyat tertumpah hanya kepada Harakah.

Justeru, bukan sekadar petugas Harakah - daripada Anggota Jamaah Pengarah kepada kakitangan lainnya - perlu memikul amanah ini, malah setiap anggota dan pimpinan PAS, wajar bekerjasama menjayakan kempen "Satu Keluarga Satu Harakah", sebagai salah satu usaha terkini memantapkan kedudukan Harakah yang berdepan pelbagai mehnah tribulasi.

Kalau pilihan raya 1986 berjaya mencetuskan fenomena baru politik Malaysia dengan kelahiran Harakah, maka tidak mustahil kemurungan pilihan raya 2004 dapat melahirkan semangat dan azam baru, dengan memunculkan Harakah yang lebih segar dan menarik, khususnya sempena menyambut ulangtahunnya yang ke-20, April 2007.

Sesungguhnya, Harakah bukan lagi dilihat sebuah akhbar semata-mata tetapi sudah dianggap satu institusi berpengaruh dalam pergolakan politik negara. Maknanya, bagi teman-teman sekerja di Harakah, kita tidak boleh berpaling lagi, harapan pembaca terlalu besar untuk disesiakan.

0 comments: