Saturday, September 29, 2007

Sambutan 50 Tahun Merdeka di Gunung Semanggol meriah

SEMANGGOL, 29 Ogos (Hrkh) - Sambutan 50 tahun kemerdekaan negara yang dianjurkan oleh PAS Negeri Perak dengan kerjasama Lajnah Penerangan PAS Pusat meriah dengan pelbagai acara dijalankan bermula acara konvoi kemerdekaan dari Tol Kamunting menuju ke tapak program di Markaz PAS Gunung Semanggol.

Peserta berkonvoi bermotosikal dan berkereta mengiringi Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Amar Nik Abdullah, turut serta pimpinan PAS Perak dan pimpinan Pemuda Negeri.

Ketibaan pimpinan PAS disambut dengan paluan kompang dan kanak-kanak serta orang ramai berdiri sepanjang jalan masuk ke tapak program sambil mengibarkan bendera jalur gemilang.

Ustaz Ahmad Awang dan pimpinan PAS Negeri serta orang ramai menyanyikan lagu Negaraku diikuti dengan lagu PAS. Naib Presiden tersebut kemudiannya memeriksa perbarisan Unit Amal Perak.

Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, merangkap Pengarah Sambutan 50 Tahun Merdeka, Misbahul Munir Masduki, dalam ucapan di majlis berkenaan, menjelaskan pemilihan Gunung Semanggol dibuat sebagai lokasi sambutan kerana ianya ada nilai sejarah dalam proses kemerdekaan, iaitu di sinilah lahirnya Pertubuhan Hizbul Muslimin, parti Islam pertama di Malaysia,

“Kita mahu memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai konsep dan hakikat kemerdekaan dari sudut kacamata Islam, dalam masa yang sama turut menyedarkan rakyat tentang peranan ulama dan PAS dalam perjuangan menuntut kemerdekaan,” jelasnya.

“Kita mahu semangat dari Gunung Semanggol ketika Hizbul Muslimin ditubuhkan menjelma dan meresap ke dalam sanubari kita bagi mempertingkatkan daya juang menghadapi pilihan raya umum ke-12,” jelas beliau.

“PAS turut menghargai jasa dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan menentang penjajah, kita jemput mereka hadir sama di majlis ini untuk kita menghargai jasa-jasa mereka sekali gus untuk kita mengenali mereka sebagai tokoh perjuang kemerdekaan,” katanya..

Antara lain acara yang diadakan pada majlis tersebut termasuk ialah `Larian Merdeka’, pertandingan melukis untuk kanak-kanak, pertunjukan seni pencak silat dan persembahan nasyid dari pelajar-pelajar Ma’ahad Ridzuniah.

0 comments: