Saturday, September 29, 2007

Memperingati ulang tahun ke-10 Ops kriket Israel

Ridhuan Mohd Noor

Tanggal 4 April 1997 adalah tarikh yang melakarkan sejarah kepada rakyat negara ini dalam usaha penentangan mereka terhadap entiti haram Israel.

Seramai dua ribu pencinta Islam telah mengadakan demonstrasi membantah kehadiran pasukan kriket Israel yang berkesudahan dengan adegan liar pihak keselamatan menyuraikan para demonstran yang sebahagiannya pelajar universiti yang sedang bergelut dengan musim peperiksaan.

Kini peristiwa itu telah genap 10 tahun dan menjadi sebahagian daripada sejarah gerakan Islam negara ini. Memandangkan isu kezaliman regim Israel terhadap umat Islam Palestine masih berterusan dan kiblat pertama umat Islam yang masih terjajah, maka Dewan Pemuda PAS Pusat mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan memperingati peristiwa ini pada 7 April di Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar.

Peristiwa kemuncak bantahan pada 4 April di hadapan pintu masuk Universiti Malaya adalah lanjutan daripada beberapa siri bantahan sebelum daripada itu.

Lokasi masjid Ar Rahman Universiti Malaya sebagai tempat berhimpun sangat sesuai kerana masjid itu sentiasa menjadi medan demonstrasi pelajar-pelajar universiti terutama dari Universiti Malaya serta PAS Lembah Pantai yang sentiasa menjadi ‘tuan rumah’ demonstrasi pada dekad 90-an.

Pada hari Jumaat 4 April, Masjid Ar Rahman menampung kehadiran solat Jumaat yang begitu ramai malah diisi dengan tazkirah dan khutbah yang berkaitan dengan isu Yahudi dan Palestine yang sentiasa berkubang.

Penulis saat itu masih belum tamat pengajian Diploma Pendidikan Universiti Malaya dan menjawat jawatan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai (yang menguruskan logistic acara demo 4 April) masih membayangkan wajah-wajah teruja para demonstran.

Selesai solat Jumaat, teriakan takbir mula menerjah ruang sekitar masjid dan peserta demonstrasi mula berarak ke hadapan pintu masuk UM. Pihak keselamatan telah melakukan persiapan awal untuk menghalang bantahan ini dengan kerahan ratusan anggota polis berpakaian preman, FRU, malah yang beruniform.

air kimia dan gas pemedih mata

Trak-trak polis dan water canon telah ditempatkan di perkarangan Balai Polis Jalan Pantai Baru sejak awal pagi 4 April 1997.

Laungan slogan dan takbir peserta jam 2 petang 4 April mula galak di hadapan pintu masuk UM walaupun matahari begitu menyengat ubun-ubun.

Mahfuz, Salahuddin Ayub, Misbahul Munir dan beberapa pemimpin Pemuda PAS yang kebetulan menghadiri satu tamrin anjuran Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai turut hadir.

FRU mula mengeluarkan amaran bersurai namun tak sempat pamitan doa yang dibaca oleh YDP PAS Lembah Pantai, pancutan air kimia telah dihalakan kepada peserta demo tanpa belas kasihan walaupun muslimat dan mahasiswi adalah sebahagian daripada peserta perhimpunan.

Gas pemedih mata yang dijamu kepada peserta demo juga agak lumayan pedihnya telah mewarnai sekitar lokasi perhimpunan, dalam masa yang sama pihak keselamatan UM telah bertindak menutup pintu masuk Universiti dengan tujuan untuk menghalang peserta –peserta demo masuk ke dalam UM bagi meloloskan diri daripada tangkapan polis yang mula menyerbu, menangkap malah menggasari peserta demo dengan hayunan belantan.

Seorang peserta, Haji Zakri (AU4) cedera parah dipukul, serban dan baju beliau disimbah warna merah darah malah puluhan peserta cedera. Dalam keadaan rusuh dan tegang itu ada peserta demo yang terjun ke dalam sungai yang terletak berhampiran dengan Masjid Ar Rahman.

Masjid Ar Rahman telah di kepung sehingga hampir masuk waktu Isyak, para peserta telah melakukan pelbagai aktiviti seperti membaca Surah Yaasin secara beramai-ramai, makanan telah dimasak di dapur Masjid oleh Pak Amjal serta dibantu yang lain.

lorong tikus

Dalam tempoh antara Asar dan pertengahan Maghrib puluhan pelajar telah berjaya dikeluarkan melalui ‘lorong tikus’ hutan belakang Masjid Ar Rahman, terutama pelajar yang akan mengambil peperiksaan akhir mereka.

Pihak polis telah menyerbu ke dalam Masjid menjelang waktu Isyak dan mula menangkap peserta-peserta yang berada di masjid secara rambang malah dengan memakai kasut yang disarung beg plastik - satu tindakan biadap yang tidak menghormati kesucian masjid.

Akhirnya, 250 orang penunjuk perasaan ditahan oleh pihak polis termasuklah pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat yang ditahan reman. Antaranya Setiausaha, Haji Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan, Salehudin Ayub. Sementara dua lagi ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Minghat Mahmud dan Haji Jamaluddin Manaf (Pak Amjal), Ketua Cawangan PAS Flat UDA, Lembah Pantai.

demo depan balai polis

Peserta demo telah dibawa ke beberapa buah balai polis di sekitar Kuala Lumpur di Balai Polis Pantai Baru dan Brickfield. Keesokannya pada 5 April satu lagi demonstrasi kecil telah dibuat dihadapan Balai Polis Brickfield bagi membantah layanan polis terhadap tahanan termasuk tahanan beramai-ramai ini mengaku agak kelaparan.

Dalam demonstrasi ini pelbagai jalur latarbelakang peserta telah ditahan seperti pendakwah, pensyarah (Prof. Dr. Hamirdhin Ithnin), korporat (Haji Ghazali Ismail), wartawan (Adnan Ibrahim) serta kelompok mahasiswa. Daripada 24 orang yang ditahan, hanya 19 daripadanya dijatuhkan hukuman denda.

Sembilan darinya didenda RM200, sembilan lagi didenda antara RM50 ke RM150 dan hanya seorang diberi amaran.

Urutan peristiwa bantahan sebelumnya

Sebelum daripada bantahan kemuncak pada 4 April, telah berlaku beberapa siri bantahan menentang kedatangan pasukan kriket Israel.

Demonstrasi pertama membantah kehadiran pasukan kriket Israel ke negara ini, telah diadakan di Dataran Merdeka yang dihadiri lebih 2,000 orang. Ia dipimpin Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berarak menuju ke Jabatan Perdana Menteri bagi menghantar memorandum bantahan kepada PM (tiada dalam negara pada waktu itu).

Perarakan itu juga dihadiri oleh pemimpin Pemuda PAS Pusat seperti Ketua Pemuda Ustaz Abu Bakar Chik, Naib Ketua Haji Muhamad Sabu, Setiausaha Haji Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Salahuddin Ayub, Dr. Hatta Ramli. Beberapa pemimpin PAS negeri turut datang memeriahkan bantahan seperti Allahyarham Zainuddin Abdullah (Abang Din Kubur Maras),Ustaz Fauzi Husain (Kedah), pemimpin pelajar universiti tempatan.

bantahan di peringkat negeri

Di peringkat negeri pula, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Tan Sri Isa Abdul Samad oleh Ketua Pemudanya, Rahman Abdul Jalil.

Di Pahang pula, Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob juga menerima memorandum bantahan yang disampaikan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Abdul Rahim Latif.

Manakala Dewan Pemuda PAS Kelantan pula menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Mahyuddin Yassin dan Menteri Luar Negeri pada waktu itu, Dato’ Abdullah Badawi.

Di peringkat kampus, beberapa persatuan pelajar turut membantah kedatangan pasukan kriket Israel. Antaranya, Persatuan Mahasiswa Islam UM (UM menjadi pusat gerakan kebangkitan pelajar Islam dalam dekad tersebut), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (MPPUIA) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Pertanian Malaysia (PMIUPM).

PMUM yang diterajui oleh NADI turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Megat Junid Megat Ayub. Ternyata isu kriket ini telah menjadi momentum kepada kebangkitan pelajar yang sebelumnya turut bergelumang dengan isu-isu rakyat di Pantai Kundur, Kerpan, menentang maksiat di kampus-kampus universiti.

Demontrasi berikutnya telah dianjurkan oleh lebih 500 siswa-siswi kampus tempatan diperkarangan jalan masuk utama Universiti Malaya. Ia diadakan selepas solat Jumaat.

Minggu berikutnya, demontrasi secara aman turut diadakan di perkarangan Masjid Negeri Ipoh, Perak yang disertai lebih 500 orang. Di negeri-negeri lain juga bantahan yang serupa telah diadakan termasuk menyerahkan nota bantahan kepada pihak berwajib.

papan iklan Carlsberg diruntuh

Dewan Pemuda PAS Pusat juga sekali lagi telah mengadakan bantahan, di tapak permainan kriket, Kelana Jaya. Beberapa papan iklan jenama Carlberg diruntuhkan oleh pelajar-pelajar UM dalam keghairahan bantahan itu.

Demontrasi di Dataran Merdeka telah mendapati liputan meluas mass media antarabangsa samada media cetak atau elektronik. Kesan daripada demontrasi anjuran Dewan Pemuda PAS telah menyebabkan imej pemimpin Malaysia telah jatuh menjunam di kalangan pemimpin negara-negara umat Islam sejak isu kedatangan pasukan kriket Israel ke Malaysia.

Malaysia yang cuba menonjol di pentas antarabangsa dalam isu ummat Islam telah mendapat tamparan yang hebat dari dunia luar.Kemunafikan pemimpin negara telah terserlah dalam isu kriket Israel ini dan telah melonjakkan nama PAS kepada gerakan Islam lain di luar negara.

Reaksi masyarakat

Demonstrasi ini telah mengundang reaksi yang pelbagai daripada khalayak masyarakat dalam dan luar negara serta menjadi subjek yang diperkatakan terutama kebangkitan pelajar Islam memandang demonstrasi ini mengingatkan rakyat tentang ‘student power’ yang pernah menjadi fenomena pada awal dekad 1970-an.

Demo yang disifatkan sebagai demo kedua terbesar pembabitan pelajar selepas kebangkitan gerakan pelajar 1974 telah diulas oleh Ketua Pemuda UMNO, Zahid Hamidi dengan penuh emosional mendakwa "PAS telah melacurkan pelajar demi kepentingan politik". Nah, inilah “true colour” Pemuda UMNO dalam melihat isu ini yang sememangnya hanya menjadi pak angguk kepada pemimpin UMNO.

Zahid seterusnya mendesak Kementerian Pendidikan “jangan bertolak ansur dengan pelajar yang terbabit dalam demonstrasi itu, termasuk menggantung pengajian atau menyingkirkanya". Ketua Pemuda Umno itu juga mendakwa ada guru terbabit dalam demo dan seterusnya, “meminta Menteri Pendidikan, Najib Tun Razak mengambil tindakan tatatertib, termasuk memecat guru berkenaan daripada menjalankan tugas sebagai pendidik”. Di antara guru penjawat awam yang terlibat dengan bantahan itu ialah Ustaz Misbahul Munir dari Bagan Datoh (Kubu Zahid Hamidi Sendiri).

Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) telah membidas kenyataan Zahid yang tidak peka kepada isu ummah ini. “Sebagai Muslim, pelajar mempunyai hak menyatakan perasaan benci terhadap regim Yahudi yang penuh kezaliman dan keganasan itu,” ujar pimpinan PUM yang turut terusik dengan kenyataan Zahid.

Seorang Pengamal sosial tersohor, Rustam A. Sani memberikan pandangan yang menarik dalam menyikapi isu ini dalam kolumnya:

“Saya kira, pihak penganjur kejuaraan kriket tersebut tentulah amat kuat pengaruhnya terhadap pemerintah. Mereka bukan sahaja berhasil memperoleh keizinan membawa pasukan kriket Israel ke negara ini, tetapi tindakan mereka itu malah dipertahankan oleh Perdana Menteri."

Bantahan pasukan kriket Israel itu kini telah berputar selama 10 tahun dalam sejarah dan masa yang pantas ini juga telah merakamkan banyak cerita suka dan duka. Ramai juga pelajar yang terlibat dengan bantahan kriket ini telah menjadi pemimpin PAS atau pun aktivis parti pada hari ini.

Ustaz Hilmi Ghazali (Ketua Pemuda PAS Sungai Petani), Ustaz Kamal Ali (Terengganu),Roslan Mohd Zain (Kelantan), ratusan yang lain aktif di peringkat kawasan dan cawangan yang tidak mampu disenaraikan dalam tulisan singkat ini.

Ada juga alumni demonstrasi ini mula membina nama dalam NGO seperti Jamaluddin Elias (YAM), malah cukup mengharukan ada pihak polis yang diberi hidayah selepas peristiwa tersebut malah akhirnya aktif sebagai penggerak PAS. Beberapa tahun lepas penulis dijemput berceramah di sebuah Surau di Seri Kembangan, selepas membicarakan sejarah Perang Khaibar yang berlaku di zaman Nabi s.a.w., perang Islam dan Yahudi serta mengimbas tragedi Ops Kriket.

Dua orang bekas polis (termasuk bekas SB) telah mendedahkan bahawa mereka di antara polis yang terlibat dalam peristiwa 4 April itu. Ramai juga alumni yang telah berkelana ke alam abadi, antaranya Pak Din Hancur, Abang Din Kubur Maras, malah ada yang setia dengan setiap demo seperti Dr. Hatta dan Pak Amjal.

Ayuh para alumni 4 April 1997, kita berhimpun di Melewar pada 7 April ini untuk mempertautkan kembali ukhuwwah dan mengilas kembali ingatan silam sebagai cerminan kepada kita hari ini.

0 comments: