Saturday, September 29, 2007

Arkib Negara perlu beri penghormatan buat Dr Burhanuddin Al-Helmy

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Hrkh) - Arkib Negara Malaysia yang menyimpan segala fakta-fakta sejarah mengenai negara seharusnya memberi penghormatan kepada Almarhum Prof Dr Burhanuddin Al-Helmy atas jasa dan pengorbanannya memperjuangkan kemerdekaan negara.

Penghormatan yang diberikan pula perlu melebihi daripada sekadar meletakkan nama beliau di sebatang jalan raya, misalnya di Taman Tun Dr Ismail, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, penghormatan dan pengiktirafan seperti anugerah-anugerah tertentu harus diberikan, apatah lagi di saat negara menyambut secara besar-besaran kemerdekaan yang ke-50 negara, 31 Ogos lalu.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan anugerah kehormat kepada Almarhum Dr Burhanuddin sebagai "Pahlawan Bangsa", yang diterima oleh isterinya, Hajah Suri Haji Yahya, 85, atau lebih dikenali dengan panggilan Ibu Suri, di kediamannya di Taman Bolton, Gombak, dekat sini, petang tadi.

Mahfuz, yang ditemani Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh; Ketua Penerangan Muslimat PAS, Salbiah Abdul Wahab, dan Misbahul Munir Masduki, menyampaikan anugerah kehormat berupa sijil penghargaan, replika berbentuk keris dan wang tunai daripada PAS Pusat.

Penyampaian anugerah itu juga dilakukan dalam suasana santai dengan semua pihak berbual-bual dan bergurau senda, sambil menikmati minuman petang yang disediakan pihak tuan rumah.

Sebelum ini, pada 2 September lalu, anugerah tersebut telahpun disampaikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Kuala Ketil, dekat Baling. Bagaimanapun Ibu Suri tidak dapat hadir pada majlis berkenaan.

Anugerah "Pahlawan Bangsa" itu diberikan dalam majlis penutup sambutan 50 tahun merdeka anjuran PAS Pusat, yang dikendalikan oleh Lujnah Penerangan.

Image"Atas sebab itu, hari ini, kita datang untuk bertemu dan menyampaikan sendiri anugerah tersebut, di samping menziarahi Ibu Suri serta merapatkan lagi hubungan di antara PAS dan keluarga Almarhum.

"Lagi pun, penghormatan ini memang harus diberikan kepada Almarhum sepanjang pembabitan beliau dalam memperjuangkan kemerdekaan negara," kata Mahfuz.

Sementara itu, adik bongsu kepada Almarhum Dr Burhanuddin, Haji Norbait, yang ditemui berkata, abangnya seorang yang tegas dan tidak gemar membabitkan keluarganya dalam urusan perjuangannya. Beliau menerima anugerah itu bagi pihak abangnya daripada Ustaz Abdul Hadi, di Baling.

"Saya tidaklah terlalu rapat dengan Almarhum, kerana kami terpisah kerana saya melanjutkan pelajaran di Indonesia. Biarpun, ibu bapa kami merestui perjuangannya, kami adik-beradik tidak begitu mencampuri urusan perjuangannya," kata Norbait.

0 comments: