Saturday, September 29, 2007

Sambutan bulan penerangan PAS peringkat Negeri Johor dipenuhi pelbagai program

MUAR, 18 Mac (Hrkh) – Berbagai acara telah diadakan sempena sambutan bulan penerangan PAS peringkat Negeri Johor baru-baru ini. Selain ceramah, turut diadakan program mengedar risalah, sumbangan kepada mangsa banjir dan juga dialog dengan 100 pekerja sebuah syarikat yang dibuang kerja baru-baru ini.

Majlis pelancaran program sehari ini telah disempurnakan AJK PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik, manakala majlis penutupnya pula oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Hadir sama pada majlis ini Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfods Mohamad, Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussein, Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, YDP PAS Muar, Ustaz Abu Bakar Lajat serta lain-lain pimpinan PAS negeri dan kawasan

Semasa berucap pada majlis ini, Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki, berkata, program seumpama ini diadakan di seluruh negeri bagi meningkatkan semangat juang ahli dan penyokong PAS, lebih-lebih lagi dalam suasana pilihan raya umum Ke-12 sudah semakin hampir.

Selain itu katanya, program ini juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan ahli di semua peringkat di samping berusaha menyebarkan mesej perjuangan PAS kepada rakyat.

Justeru katanya, PAS mesti turun ke akar umbi bagi memberi penerangan dan penjelasan kepada seluruh rakyat, sama ada melalui ceramah, mengedar risalah atau apa juga kaedah yang bersesuaian dan usaha berterusan hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa.

“Adalah diharapkan melalui berbagai pendekatan yang dilakukan ini rakyat akan lebih mengenali serta dapat menerima PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai pilihan mereka," jelasnya lagi.

0 comments: