Saturday, September 29, 2007

Bukan sekadar pemimpin, parti yang tidak bersih juga mesti ditolak

IPOH, 3 Ogos (Hrkh) - PAS Negeri Perak menyambut baik kenyataan Raja Muda Perak, Raja Nazrin, yang menyarankan mereka yang mempunyai masa depan yang tercalar serta bukti jelas tentang kerosakan moral perlu disekat menjadi pemimpin.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, ketika mengulas kenyataan Raja Muda Perak itu.

"Kita mengucapkan tahniah kepada baginda kerana kenyataan tersebut memperlihatkan kepekaan baginda terhadap politik dan kepimpinan," jelasnya.

Namun begitu kenyataan itu tidak harus terhenti di situ sahaja kerana rakyat juga perlu diwarwarkan tentang parti yang tidak bersih dan terbukti melakukan kezaliman, ketidakadilan serta mengamalkan rasuah juga mesti ditolak dan tidak wajar dikekalkan memerintah negara ini, katanya

"Rakyat mesti diberikan penjelasan yang terperinci agar mereka tidak terkeliru, ini kerana ada di kalangan rakyat yang sanggup menolak pemimpin yang tidak bersih tetaoi tidak sanggup pula menolak parti yang tidak bersih.

"Bagi kita pemimpin yang tidak bersih dengan parti yang tidak bersih adalah berbeza, kedua-duanya mesti ditolak oleh rakyat bagi menwujudkan sebuah kerajaan yang adil dan bertanggungjawab," ujarnya.

Menurut beliau, sehingga ini cukup jelas Umno dan Barisan Nasional sebuah organisasi parti yang tidak bersih, mengamalkan rasuah pada setiap kali pilihan raya umum serta banyak melakukan ketidakadilan seperti mengamalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Mana ada dalam dunia orang yang didakwa terus ditangkap dan ditahan di kem tahanan tanpa diberi peluang membela diri, ianya hanya berlaku di negara ini yang Umno menjadi tunggak pemerintahan," jelasnya.

Mesej yang mesti difahami oleh rakyat daripada kenyataan Raja Nazrin itu ialah menolak mana-mana parti yang tidak bersih termasuk Umno/BN pada pilihan raya umum ke-12, sebaliknya memilih parti politik yang terbukti jelas tidak melakukan penyelewengan dan bersih.

"Sehingga kini Barisan Alternatif, PAS dan PKR jelas tidak mempunyai rekod buruk dan bersih, kerana itu rakyat perlu memberi peluang kepada BA untuk memerintah negara ini," katanya.

Beliau berharap rakyat akan mengambil iktibar daripada kenyataan Raja Muda Perak itu untuk membuat keputusan yang bijak pada pilihan raya umum akan datang dengan menolak terus BN, dalam masa yang sama memberikan mandat dan sokongan kepada BA untuk mentadbir negara ini.

0 comments: