Tuesday, October 2, 2007

Double Standard Pemuda UMNO & Belia

Saya mensifatkan pemuda UMNO & sebahagian para pemimpin belia di negara ini yang menunjuk perasaan membantah tindakan kerajaan Mynmar yang melakukan kekerasan dan keganasan terhadap rakyat yang menuntut demokrasi adalah double standard. Ini kerana dalam masa yang sama pihak polis dan kerajaan di Malaysia melakukan tindakan yang keras dan ganas ke atas rakyat dengan menggunakan gas pemedih mata, membuat tangkapan, memukul, dan yang terbaru menggunakan peluru hidup dalam tragedi Batu Buruk di Kuala Terengganu baru-baru ini. Mengapa Pemuda UMNO dan para pemimpin belia diam seribu bahasa terhadap tindakan ganas pasukan keselamatan terhadap rakyat. Rakyat Malaysia kerap diganasi oleh polis dan FRU sewaktu rakyat berdemontrasi secara aman membantah kenaikan tol, kenaikan harga minyak, berdemontrasi di hadapan kedutaan Amerika, menentang kedatangan pasukan kriket Israel dan sebagainya. Dan yang terbaru tragedi Batu Buruk yang sengaja dirancang oleh mereka. Tidak ada pemimpin pemuda UMNO dan pemimpin belia yang tampil membuat kenyataan membantah tindakan kekerasan pihak keselamatan terhadap rakyat. Adakah nilai maruah dan harga diri rakyat di negara rendah berbanding dengan rakyat di negara luar, bahkan lebih rendah berbanding dengan babi di Melaka ? yang seekor pun tidak ditembak oleh pasukan keselamatan. Inilah demokrasi ala Malaysia. Rakyat luar negara yang diganasi oleh kerajaan dibela oleh mereka, rakyat di negara sendiri yang dizalimi oleh kerajaan dibiarkan.

Saturday, September 29, 2007

Arkib Negara perlu beri penghormatan buat Dr Burhanuddin Al-Helmy

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Hrkh) - Arkib Negara Malaysia yang menyimpan segala fakta-fakta sejarah mengenai negara seharusnya memberi penghormatan kepada Almarhum Prof Dr Burhanuddin Al-Helmy atas jasa dan pengorbanannya memperjuangkan kemerdekaan negara.

Penghormatan yang diberikan pula perlu melebihi daripada sekadar meletakkan nama beliau di sebatang jalan raya, misalnya di Taman Tun Dr Ismail, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, penghormatan dan pengiktirafan seperti anugerah-anugerah tertentu harus diberikan, apatah lagi di saat negara menyambut secara besar-besaran kemerdekaan yang ke-50 negara, 31 Ogos lalu.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan anugerah kehormat kepada Almarhum Dr Burhanuddin sebagai "Pahlawan Bangsa", yang diterima oleh isterinya, Hajah Suri Haji Yahya, 85, atau lebih dikenali dengan panggilan Ibu Suri, di kediamannya di Taman Bolton, Gombak, dekat sini, petang tadi.

Mahfuz, yang ditemani Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh; Ketua Penerangan Muslimat PAS, Salbiah Abdul Wahab, dan Misbahul Munir Masduki, menyampaikan anugerah kehormat berupa sijil penghargaan, replika berbentuk keris dan wang tunai daripada PAS Pusat.

Penyampaian anugerah itu juga dilakukan dalam suasana santai dengan semua pihak berbual-bual dan bergurau senda, sambil menikmati minuman petang yang disediakan pihak tuan rumah.

Sebelum ini, pada 2 September lalu, anugerah tersebut telahpun disampaikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Kuala Ketil, dekat Baling. Bagaimanapun Ibu Suri tidak dapat hadir pada majlis berkenaan.

Anugerah "Pahlawan Bangsa" itu diberikan dalam majlis penutup sambutan 50 tahun merdeka anjuran PAS Pusat, yang dikendalikan oleh Lujnah Penerangan.

Image"Atas sebab itu, hari ini, kita datang untuk bertemu dan menyampaikan sendiri anugerah tersebut, di samping menziarahi Ibu Suri serta merapatkan lagi hubungan di antara PAS dan keluarga Almarhum.

"Lagi pun, penghormatan ini memang harus diberikan kepada Almarhum sepanjang pembabitan beliau dalam memperjuangkan kemerdekaan negara," kata Mahfuz.

Sementara itu, adik bongsu kepada Almarhum Dr Burhanuddin, Haji Norbait, yang ditemui berkata, abangnya seorang yang tegas dan tidak gemar membabitkan keluarganya dalam urusan perjuangannya. Beliau menerima anugerah itu bagi pihak abangnya daripada Ustaz Abdul Hadi, di Baling.

"Saya tidaklah terlalu rapat dengan Almarhum, kerana kami terpisah kerana saya melanjutkan pelajaran di Indonesia. Biarpun, ibu bapa kami merestui perjuangannya, kami adik-beradik tidak begitu mencampuri urusan perjuangannya," kata Norbait.

Sambutan 50 Tahun Merdeka di Gunung Semanggol meriah

SEMANGGOL, 29 Ogos (Hrkh) - Sambutan 50 tahun kemerdekaan negara yang dianjurkan oleh PAS Negeri Perak dengan kerjasama Lajnah Penerangan PAS Pusat meriah dengan pelbagai acara dijalankan bermula acara konvoi kemerdekaan dari Tol Kamunting menuju ke tapak program di Markaz PAS Gunung Semanggol.

Peserta berkonvoi bermotosikal dan berkereta mengiringi Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Amar Nik Abdullah, turut serta pimpinan PAS Perak dan pimpinan Pemuda Negeri.

Ketibaan pimpinan PAS disambut dengan paluan kompang dan kanak-kanak serta orang ramai berdiri sepanjang jalan masuk ke tapak program sambil mengibarkan bendera jalur gemilang.

Ustaz Ahmad Awang dan pimpinan PAS Negeri serta orang ramai menyanyikan lagu Negaraku diikuti dengan lagu PAS. Naib Presiden tersebut kemudiannya memeriksa perbarisan Unit Amal Perak.

Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, merangkap Pengarah Sambutan 50 Tahun Merdeka, Misbahul Munir Masduki, dalam ucapan di majlis berkenaan, menjelaskan pemilihan Gunung Semanggol dibuat sebagai lokasi sambutan kerana ianya ada nilai sejarah dalam proses kemerdekaan, iaitu di sinilah lahirnya Pertubuhan Hizbul Muslimin, parti Islam pertama di Malaysia,

“Kita mahu memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai konsep dan hakikat kemerdekaan dari sudut kacamata Islam, dalam masa yang sama turut menyedarkan rakyat tentang peranan ulama dan PAS dalam perjuangan menuntut kemerdekaan,” jelasnya.

“Kita mahu semangat dari Gunung Semanggol ketika Hizbul Muslimin ditubuhkan menjelma dan meresap ke dalam sanubari kita bagi mempertingkatkan daya juang menghadapi pilihan raya umum ke-12,” jelas beliau.

“PAS turut menghargai jasa dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan menentang penjajah, kita jemput mereka hadir sama di majlis ini untuk kita menghargai jasa-jasa mereka sekali gus untuk kita mengenali mereka sebagai tokoh perjuang kemerdekaan,” katanya..

Antara lain acara yang diadakan pada majlis tersebut termasuk ialah `Larian Merdeka’, pertandingan melukis untuk kanak-kanak, pertunjukan seni pencak silat dan persembahan nasyid dari pelajar-pelajar Ma’ahad Ridzuniah.

Bukan sekadar pemimpin, parti yang tidak bersih juga mesti ditolak

IPOH, 3 Ogos (Hrkh) - PAS Negeri Perak menyambut baik kenyataan Raja Muda Perak, Raja Nazrin, yang menyarankan mereka yang mempunyai masa depan yang tercalar serta bukti jelas tentang kerosakan moral perlu disekat menjadi pemimpin.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, ketika mengulas kenyataan Raja Muda Perak itu.

"Kita mengucapkan tahniah kepada baginda kerana kenyataan tersebut memperlihatkan kepekaan baginda terhadap politik dan kepimpinan," jelasnya.

Namun begitu kenyataan itu tidak harus terhenti di situ sahaja kerana rakyat juga perlu diwarwarkan tentang parti yang tidak bersih dan terbukti melakukan kezaliman, ketidakadilan serta mengamalkan rasuah juga mesti ditolak dan tidak wajar dikekalkan memerintah negara ini, katanya

"Rakyat mesti diberikan penjelasan yang terperinci agar mereka tidak terkeliru, ini kerana ada di kalangan rakyat yang sanggup menolak pemimpin yang tidak bersih tetaoi tidak sanggup pula menolak parti yang tidak bersih.

"Bagi kita pemimpin yang tidak bersih dengan parti yang tidak bersih adalah berbeza, kedua-duanya mesti ditolak oleh rakyat bagi menwujudkan sebuah kerajaan yang adil dan bertanggungjawab," ujarnya.

Menurut beliau, sehingga ini cukup jelas Umno dan Barisan Nasional sebuah organisasi parti yang tidak bersih, mengamalkan rasuah pada setiap kali pilihan raya umum serta banyak melakukan ketidakadilan seperti mengamalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Mana ada dalam dunia orang yang didakwa terus ditangkap dan ditahan di kem tahanan tanpa diberi peluang membela diri, ianya hanya berlaku di negara ini yang Umno menjadi tunggak pemerintahan," jelasnya.

Mesej yang mesti difahami oleh rakyat daripada kenyataan Raja Nazrin itu ialah menolak mana-mana parti yang tidak bersih termasuk Umno/BN pada pilihan raya umum ke-12, sebaliknya memilih parti politik yang terbukti jelas tidak melakukan penyelewengan dan bersih.

"Sehingga kini Barisan Alternatif, PAS dan PKR jelas tidak mempunyai rekod buruk dan bersih, kerana itu rakyat perlu memberi peluang kepada BA untuk memerintah negara ini," katanya.

Beliau berharap rakyat akan mengambil iktibar daripada kenyataan Raja Muda Perak itu untuk membuat keputusan yang bijak pada pilihan raya umum akan datang dengan menolak terus BN, dalam masa yang sama memberikan mandat dan sokongan kepada BA untuk mentadbir negara ini.

BN tidak 'tidur lena' dengan manifesto PAS

IPOH, 14 Julai (Hrkh) - Manifesto PAS yang bakal digemakan pada pilihan raya umum ke-12 nanti, `Negara Kebajikan dan Negara Keadilan Untuk Semua’, merupakan pendekatan yang sangat relevan dan mampu `menyentuh hati’ rakyat negara ini dan menyebabkan Barisan Nasional (BN) tidak 'tidur lena'.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, ketika mengulas manifesto tersebut yang dilancarkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Manifesto tersebut yang dicadangkan bersama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pastinya akan dapat `mencuri’ perasaan rakyat negara ini yang dahagakan keadilan dan mengharapkan kerajaan yang dipilih nanti mampu memberikan kesejahteraaan dan keadilan untuk semua rakyat.

“Semua manusia mahukan keadilan, benci kepada kezaliman dan penindasan, begitu juga semua rakyat mahu kebajikan mereka dipeliharakan , kerana itu apabila kebajikan mereka tidak dihiraukan, umpamanya gaji yang tidak sepadan dengan kerja, rawatan di hospital dikenakan bayaran, rakyat rasa tidak selesa dan menganggap kebajikan mereka telah dinafikan,” kata beliau.

Rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama menuntut kepada keadilan dari segi undang-undang, dari segi hak bersuara, hak mendapatkan pendidikan dan sebagainya.

“Nasib mereka yang tidak terbela dan hidup dalam kemiskinan bukan hanya orang Melayu sahaja, kita jangan lupa orang India dan Cina pun ada yang miskin, tidak terbela, tetapi bila manifesto PAS yang mengungkapkan kebajikan dan keadilan untuk semua, ianya mencakupi seluruh rakyat yang nasib mereka tidak terbela pastinya akan dibela,” ujar beliau.

Beliau mengucapkan syabas kepada PAS Pusat yang turut meletakkan gaji minima sebagai satu daripada matlamat dan akan diperjuangkan, begitu juga pendidikan dan rawatan kesihatan percuma.

Pandangan jauh pimpinan PAS itu pastinya mengembirakan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama kerana PAS yang mereka kenali sekarang turut membela nasib mereka.

“BN pastinya akan mencari hujah lain dan idea baru bagi `meracuni pemikiran bukan Islam agar tidak memberi undi kepada PAS dan KeADILan, namun rakyat yang berfikiran matang pastinya tidak terpengaruhi dengan `kata-kata beracun’ yang dilemparkan oleh BN,” katanya.

Beliau yakin pilihan raya umum kali ini akan memberikan saingan paling sengit kepada BN dan BN pastinya tidak boleh `tidur lena’ dengan pendekatan yang diambil oleh PAS dan PKR pada pilihan raya umum ke-12 kali ini.

Sambutan kemerdekaan: PAS akan mengerakkan 'Kempen Selamatkan Malaysia'

TEMERLOH, 21 Jun (Hrkh) - PAS akan mempertingkatkan kesedaran rakyat terhadap isu Kemerdekaan melalui 'Kempen Selamatkan Malaysia' sepanjang bulan Ogos ini.

Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki berkata kempen selama sebulan sempena sambutan bulan kemerdekaan akan diadakah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti termasuklah ceramah umum.

Katanya, jentera penerangan PAS di seluruh negara akan diarah mengadakan pelbagai bentuk kegiatan sesuai dengan program tersebut.

"Kita akan gerakkan jentera penerangan di semua peringkat untuk menjayakan kempen tersebut," katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan PAS Pahang , dekat sini.

Misbah berkata, antara perkara yang akan disentuh di dalam kempen itu termasuklah isu membabitkan peranan para ulama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara serta memperingati perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang nama mereka cuba dipadamkan oleh Umno daripada buku sejarah.

Katanya, mutakhir ini terdapat usaha bersungguh-sungguh daripada Umno untuk memadamkan nama tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara daripada buku-buku sejarah yang bukan dari kalangan Umno supaya generasi akan datang hanya mengenali tokoh-tokoh pejuang di kalangan ahli Umno sahaja.

Apa yang dilakukan Umno itu, dipercayai atas dorongan politik semata-mata tetapi kesannya akan menjadikan generasi muda 'buta' sejarah dan mereka hanya akan mengenali tokoh-tokoh Umno sahaja.

"Ia adalah suatu usaha jahat 'ala penjajah' yang mengubah sejarah untuk kepentingan politik mereka," ujarnya.

PAS, tegas Misbah akan memberi penjelasan kepada rakyat di seluruh negara berhubung isu tersebut melalui 'Kempen Selamatkan Malaysia'.

Selain itu jelas Misbah, pihaknya akan menganjurkan munaqasah ucapan dasar kepada anggota Dewan harian PAS kawasan-kawasan dalam masa tersekat.

Menurutnya lagi, jentera penerangan PAS di bawah Ketua Penerangan PAS yang baru,Mahfuz Omar akan dikemaskini sesuai dengan keperluan semasa.

Katanya antaranya termasuklah memperkemaskan unit-unit penerangan sedia ada seperti unit pengurusan isu, unit media, unit ceramah, latihan dan penerbitan.

Gelaran'Sir' kepada Salman Rushide: Sepatutnya Malaysia negara pertama mengutuk

IPOH, 19 Jun (Hrkh) - "Sepatutnya Malaysia negara pertama yang mengutuk keputusan Britain untuk menganugerahkan gelaran 'Sir' kepada Salman Rushidie, bukannya Iran kerana Perdana Menteri Malaysia adalah Pengerusi Pertubuhan Negara- Negara Islam".

Demikian ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, yang diminta mengulas tindakan Iran yang membantah pemberian anugerah 'Sir' oleh Britain kepada penulis buku 'Surah-Surah Syaitan'.

Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang sentiasa 'mendendangkan lagu Islam hadhari' sewajarnya menjadi pelopor mengutuk keputusan Britain untuk memberikan pengiktirafan kepada penulis novel `Surah-Surah Syaitan' itu.

"Walau bagaimanapun kita mengucapkan syabas kepada Iran yang mengutuk keputusan Britain itu, malah kita mahu seluruh negara Islam turut sama mengutuk tindakan tersebut," katanya.

Ekoran tindakan Salman menulis buku tersebut beliau terpaksa hidup dalam persembunyian selama sepuluh tahun selepas Ayatullah Khomeini mengerluarkan kenyataan kepada mana-mana orang yang dapat membunuh Sallman diberikan ganjaran yang mahal.

Menurut Misbahul, Britain sengaja mahu mencetuskan kembali kemarahan umat Islam apabila berhasrat menganugerahkan gelaran `Sir' kepada Salman Rushdie..

"Apa jasa yang dibuat oleh Salman hinggakan Britian mahu memberikan penghormatan setinggi itu, tidak ada jasa yang dibuatnya melainkan menghina Islam dan Al-Quran.

"Sekiranya Britain masih mahu juga memberikan pengiktirafan itu bermakna negara itu turut bersekongkol dengan Salman menghina Islam, ini satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam," tegasnya.

Britain tidak sepatutnya memberikan penghormatan kepada Salman yang ternyata telah menghina al-Quran dan Islam kerana tindakan memberikan anugerah itu samalah dengan menghina al-Quran dan Agama Islam , jelasnya.

"Apakah Britain mahu memjadi pembela kepada orang yang telah menghina Islam?," tanya beliau. Beliau menyeru seluruh umat Islam mengutuk tindakan Britain untuk memberikan anugerah kepada Salman Rushdie itu.

Berita berbau fitnah: Misbahul Munir bercadang saman akhbar

TEMERLOH 5 Jun (Hrkh) – Bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media arus perdana yang didakwa telah memfitnahnya melalui berita yang disiar pada 3 Jun lalu.

Menurutnya, akhbar berkenaan jelas tidak beretika dan telah memfitnahnya dengan mengatakan beliau adalah wakil PAS Perak yang berucap ketika membahaskan ucapan terima kasih kepada dasar presiden PAS pada Muktamar Agong PAS ke–53 di Pusat Tarbiyyah Islamiah, Kelantan (Putik) 2 Jun lalu sedangkan wakil Perak yang berucap itu bukanlah beliau.

“Akhbar berkenaan jelas tidak berakhlak kerana memetiknya sebagai wakil PAS Perak yang berucap membahas ucapan dasar presiden, sedangkan yang berucap itu bukan saya, kenapa tulis nama saya,” soalnya.

Difahamkan, akhbar Mingguan Malaysia melalui berita muka depannya bertajuk ‘Dewan Ulama PAS Ibarat Tin Kosong‘ memetik wakil Perak, Misbahul Munir Masduki mengatakan Dewan Ulama PAS hanya hidup dalam kepompong sendiri dan tidak berperanan dalam usaha mencelikkan rakyat terutama ketika berdepan dengan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan umat Islam.

Manakala akhbar Berita Minggu dalam ruangan analisinya di muka 12 bertarikh 3 Jun turut memetik Misbahul Munir sebagai pembahas, mahu sayap parti itu bersikap lebih proaktif dalam menghurai pelbagai isu berbangkit tanpa terhad kepada ceramah dan kuliah di markaz semata-mata.

Menurut beliau, ekoran laporan berita yang salah dan tidak benar itu, menyebabkan beliau menerima banyak panggilan telefon serta sms daripada individu yang tidak berpuas hati dengan ucapan yang tidak diucapkanya itu.

“Saya banyak menerima panggilan telefon serta sms daripada individu yang mempersolkan dan marah-marah merujuk kepada berita media terbabit,” ujarnya.

Katanya, belau memandang serius perkara itu dan telah mengarahkan peguamnya untuk meneliti kes berkenaan dan seterusnya mengambil tindakan mahkamah dalam masa terdekat.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda, Nasruddin ganti Idris Ahmad

KOTA BHARU, 31 Mei (Hrkh) - Proses pemilihan jawatan yang dipertandingkan bagi Muktamar Dewan Pemuda PAS Kali ke-48 telahpun dimulakan dengan pengumuman yang dibuat oleh AJK PAS Pusat, Dato' Wan Mutalib Embong.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk telah mengumumkan syarat-syarat mereka yang layak untuk memilih selain memaklumkan had masa untuk pembuangan undi.

Pemilihan jawatan kali ini menyaksikan jawatan Ketua Pemuda PAS kekal kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayob setelah menang tanpa bertanding.

Sementara Timbalan Ketua Pemuda PAS pula beralih kepada Ustaz Nasruddin Hassan @ Tantawi yang menang tanpa bertanding setelah bekas Timbalan, Ustaz Idris Ahmad menarik diri.

Jawatan Pengerusi Tetap pula kekal kepada Ustaz Misbahul Munir Masduki sementara jawatan Naib Ketua menyaksikan pertandingan antara Ahmad Sabki Yusof dengan wakil Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani.

Pemeriksa kira-kira pula disandang tanpa bertanding oleh Muzammil Hafiz dan Jamil Saring.

"Oleh itu jawatan selainnya akan dipertandingkan dan kertas-kertas pengundian akan diberi kepada mereka yang ada kelayakan mengikut bilangan yang ditentukan oleh pemeriksan kertas undi nanti," kata Wan Mutalib.

Bagi jawatan Exco Permuda PAS pula 29 nama disenaraikan bertanding kali ini antaranya ialah, Abdul Hamid Jamal, Adli Zahari, Adram Musa, Ahmad Baihaki Atiqullah, Ahmad Nazri Chik, Ariffin Deraman, Fadli Ghani, Fadli Ramli, Firdaus Jaffar, Kamal Ashaari, Kahiruddin Othman, Kahirul Faizi, Musoddak Ahmad, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Norazli Musa, Raja Ahmad Iskandar, Ridhuan Mohd Noor, Salaheen Mukhyi, Suhaizan Kayat, Wan Shukairi Wan Abdullah, Zaharuddin Muhammad, Zaki Ibrahim, Zolkarnain Abidin Al-Hafis dan Zuraizan Abdulah.

Pemilihan kali ini adalah Jawatankuasa Pemuda PAS bagi sesi 2007/2009.

Wan Mutalib memperingatkan kepada perwakilan supaya memastikan undian dibuat mengikut apa yang disyaratkan atas kertas.

Peti undi yang digunakan kali ini adalah peti undi yang 'transparent' dan kertas undi yang digunakan berwarna mengikut jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

Warna oren bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, kuning bagi jawatan Naib Ketua sementara hijau untuk Exco.

MIC ugut penduduk, fitnah PAS dalam pilihan raya

BAGAN DATOH, 11 April (Hrkh) – Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, yang juga Yang DiPertua Kawasan Bagan Datoh, Misbahul Munir Masduki, mendedahkan taktik `jahat’ MIC dengan melemparkan fitnah PAS sewaktu beliau menjadi calon DUN Rungkap dahulu.

Menurut beliau, ramai daripada masyarakat India di kawasan itu mahu memberikan undi kepada PAS tetapi MIC telah melempar tuduhan jika Pas menang, kaum India akan dihantar balik ke India.

“Tuduhan dan fitnah yang dibuat oleh MIC sungguh jahat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di majlis Pelancaran Kelab Penyokong PAS Kaum India, di Simpang Empat, Bagan Datoh baru-baru ini.

Pelancaran Kelab Penyokong Kaum India Peringkat Negeri Perak dilancarkan oleh Naib Presiden PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu . Turut hadir Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasinal PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa; Setiausaha PAS Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin; Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak, Haji Zainuddin Yusuf dan Bekas ADUN Pasir Panjang (wakil MIC), K. Munisamy dan N Gobalan Krishnan.

“Masyarakat India di estet ketika itu tidak mengundi saya, pada hal kebanyakan pengundi-pengundi di situ adalah murid-murid saya ketika itu saya mengajar di situ selama sepuluh tahun,”jelasnya.

“Tetapi saya tidak salahkan mereka,,” katanya lagi.

Ketua Penerangan PAS Perak itu, menjelaskan mereka itu bukan tidak mahu mengundi calon PAS tetapi telah diugut oleh pihak Barisan Nasional supaya jangan mengundi beliau.

“Apabila saya jumpa mereka, mereka beritahu MIC sudah ugut penduduk-penduduk kaum India di situ,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa bangga dengan kehadiran ramai orang India pada malam tersebut bagi meraikan pelancaran Kelab Penyokong PAS kaum India.

“Kalau ramai ini orang India yang memberi undi pada saya dahulu, jadi Yang Berhormatlah saya,” gurau beliau.

Memperingati ulang tahun ke-10 Ops kriket Israel

Ridhuan Mohd Noor

Tanggal 4 April 1997 adalah tarikh yang melakarkan sejarah kepada rakyat negara ini dalam usaha penentangan mereka terhadap entiti haram Israel.

Seramai dua ribu pencinta Islam telah mengadakan demonstrasi membantah kehadiran pasukan kriket Israel yang berkesudahan dengan adegan liar pihak keselamatan menyuraikan para demonstran yang sebahagiannya pelajar universiti yang sedang bergelut dengan musim peperiksaan.

Kini peristiwa itu telah genap 10 tahun dan menjadi sebahagian daripada sejarah gerakan Islam negara ini. Memandangkan isu kezaliman regim Israel terhadap umat Islam Palestine masih berterusan dan kiblat pertama umat Islam yang masih terjajah, maka Dewan Pemuda PAS Pusat mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan memperingati peristiwa ini pada 7 April di Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar.

Peristiwa kemuncak bantahan pada 4 April di hadapan pintu masuk Universiti Malaya adalah lanjutan daripada beberapa siri bantahan sebelum daripada itu.

Lokasi masjid Ar Rahman Universiti Malaya sebagai tempat berhimpun sangat sesuai kerana masjid itu sentiasa menjadi medan demonstrasi pelajar-pelajar universiti terutama dari Universiti Malaya serta PAS Lembah Pantai yang sentiasa menjadi ‘tuan rumah’ demonstrasi pada dekad 90-an.

Pada hari Jumaat 4 April, Masjid Ar Rahman menampung kehadiran solat Jumaat yang begitu ramai malah diisi dengan tazkirah dan khutbah yang berkaitan dengan isu Yahudi dan Palestine yang sentiasa berkubang.

Penulis saat itu masih belum tamat pengajian Diploma Pendidikan Universiti Malaya dan menjawat jawatan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai (yang menguruskan logistic acara demo 4 April) masih membayangkan wajah-wajah teruja para demonstran.

Selesai solat Jumaat, teriakan takbir mula menerjah ruang sekitar masjid dan peserta demonstrasi mula berarak ke hadapan pintu masuk UM. Pihak keselamatan telah melakukan persiapan awal untuk menghalang bantahan ini dengan kerahan ratusan anggota polis berpakaian preman, FRU, malah yang beruniform.

air kimia dan gas pemedih mata

Trak-trak polis dan water canon telah ditempatkan di perkarangan Balai Polis Jalan Pantai Baru sejak awal pagi 4 April 1997.

Laungan slogan dan takbir peserta jam 2 petang 4 April mula galak di hadapan pintu masuk UM walaupun matahari begitu menyengat ubun-ubun.

Mahfuz, Salahuddin Ayub, Misbahul Munir dan beberapa pemimpin Pemuda PAS yang kebetulan menghadiri satu tamrin anjuran Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai turut hadir.

FRU mula mengeluarkan amaran bersurai namun tak sempat pamitan doa yang dibaca oleh YDP PAS Lembah Pantai, pancutan air kimia telah dihalakan kepada peserta demo tanpa belas kasihan walaupun muslimat dan mahasiswi adalah sebahagian daripada peserta perhimpunan.

Gas pemedih mata yang dijamu kepada peserta demo juga agak lumayan pedihnya telah mewarnai sekitar lokasi perhimpunan, dalam masa yang sama pihak keselamatan UM telah bertindak menutup pintu masuk Universiti dengan tujuan untuk menghalang peserta –peserta demo masuk ke dalam UM bagi meloloskan diri daripada tangkapan polis yang mula menyerbu, menangkap malah menggasari peserta demo dengan hayunan belantan.

Seorang peserta, Haji Zakri (AU4) cedera parah dipukul, serban dan baju beliau disimbah warna merah darah malah puluhan peserta cedera. Dalam keadaan rusuh dan tegang itu ada peserta demo yang terjun ke dalam sungai yang terletak berhampiran dengan Masjid Ar Rahman.

Masjid Ar Rahman telah di kepung sehingga hampir masuk waktu Isyak, para peserta telah melakukan pelbagai aktiviti seperti membaca Surah Yaasin secara beramai-ramai, makanan telah dimasak di dapur Masjid oleh Pak Amjal serta dibantu yang lain.

lorong tikus

Dalam tempoh antara Asar dan pertengahan Maghrib puluhan pelajar telah berjaya dikeluarkan melalui ‘lorong tikus’ hutan belakang Masjid Ar Rahman, terutama pelajar yang akan mengambil peperiksaan akhir mereka.

Pihak polis telah menyerbu ke dalam Masjid menjelang waktu Isyak dan mula menangkap peserta-peserta yang berada di masjid secara rambang malah dengan memakai kasut yang disarung beg plastik - satu tindakan biadap yang tidak menghormati kesucian masjid.

Akhirnya, 250 orang penunjuk perasaan ditahan oleh pihak polis termasuklah pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat yang ditahan reman. Antaranya Setiausaha, Haji Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan, Salehudin Ayub. Sementara dua lagi ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Minghat Mahmud dan Haji Jamaluddin Manaf (Pak Amjal), Ketua Cawangan PAS Flat UDA, Lembah Pantai.

demo depan balai polis

Peserta demo telah dibawa ke beberapa buah balai polis di sekitar Kuala Lumpur di Balai Polis Pantai Baru dan Brickfield. Keesokannya pada 5 April satu lagi demonstrasi kecil telah dibuat dihadapan Balai Polis Brickfield bagi membantah layanan polis terhadap tahanan termasuk tahanan beramai-ramai ini mengaku agak kelaparan.

Dalam demonstrasi ini pelbagai jalur latarbelakang peserta telah ditahan seperti pendakwah, pensyarah (Prof. Dr. Hamirdhin Ithnin), korporat (Haji Ghazali Ismail), wartawan (Adnan Ibrahim) serta kelompok mahasiswa. Daripada 24 orang yang ditahan, hanya 19 daripadanya dijatuhkan hukuman denda.

Sembilan darinya didenda RM200, sembilan lagi didenda antara RM50 ke RM150 dan hanya seorang diberi amaran.

Urutan peristiwa bantahan sebelumnya

Sebelum daripada bantahan kemuncak pada 4 April, telah berlaku beberapa siri bantahan menentang kedatangan pasukan kriket Israel.

Demonstrasi pertama membantah kehadiran pasukan kriket Israel ke negara ini, telah diadakan di Dataran Merdeka yang dihadiri lebih 2,000 orang. Ia dipimpin Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berarak menuju ke Jabatan Perdana Menteri bagi menghantar memorandum bantahan kepada PM (tiada dalam negara pada waktu itu).

Perarakan itu juga dihadiri oleh pemimpin Pemuda PAS Pusat seperti Ketua Pemuda Ustaz Abu Bakar Chik, Naib Ketua Haji Muhamad Sabu, Setiausaha Haji Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Salahuddin Ayub, Dr. Hatta Ramli. Beberapa pemimpin PAS negeri turut datang memeriahkan bantahan seperti Allahyarham Zainuddin Abdullah (Abang Din Kubur Maras),Ustaz Fauzi Husain (Kedah), pemimpin pelajar universiti tempatan.

bantahan di peringkat negeri

Di peringkat negeri pula, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Tan Sri Isa Abdul Samad oleh Ketua Pemudanya, Rahman Abdul Jalil.

Di Pahang pula, Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob juga menerima memorandum bantahan yang disampaikan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Abdul Rahim Latif.

Manakala Dewan Pemuda PAS Kelantan pula menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Mahyuddin Yassin dan Menteri Luar Negeri pada waktu itu, Dato’ Abdullah Badawi.

Di peringkat kampus, beberapa persatuan pelajar turut membantah kedatangan pasukan kriket Israel. Antaranya, Persatuan Mahasiswa Islam UM (UM menjadi pusat gerakan kebangkitan pelajar Islam dalam dekad tersebut), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (MPPUIA) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Pertanian Malaysia (PMIUPM).

PMUM yang diterajui oleh NADI turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Megat Junid Megat Ayub. Ternyata isu kriket ini telah menjadi momentum kepada kebangkitan pelajar yang sebelumnya turut bergelumang dengan isu-isu rakyat di Pantai Kundur, Kerpan, menentang maksiat di kampus-kampus universiti.

Demontrasi berikutnya telah dianjurkan oleh lebih 500 siswa-siswi kampus tempatan diperkarangan jalan masuk utama Universiti Malaya. Ia diadakan selepas solat Jumaat.

Minggu berikutnya, demontrasi secara aman turut diadakan di perkarangan Masjid Negeri Ipoh, Perak yang disertai lebih 500 orang. Di negeri-negeri lain juga bantahan yang serupa telah diadakan termasuk menyerahkan nota bantahan kepada pihak berwajib.

papan iklan Carlsberg diruntuh

Dewan Pemuda PAS Pusat juga sekali lagi telah mengadakan bantahan, di tapak permainan kriket, Kelana Jaya. Beberapa papan iklan jenama Carlberg diruntuhkan oleh pelajar-pelajar UM dalam keghairahan bantahan itu.

Demontrasi di Dataran Merdeka telah mendapati liputan meluas mass media antarabangsa samada media cetak atau elektronik. Kesan daripada demontrasi anjuran Dewan Pemuda PAS telah menyebabkan imej pemimpin Malaysia telah jatuh menjunam di kalangan pemimpin negara-negara umat Islam sejak isu kedatangan pasukan kriket Israel ke Malaysia.

Malaysia yang cuba menonjol di pentas antarabangsa dalam isu ummat Islam telah mendapat tamparan yang hebat dari dunia luar.Kemunafikan pemimpin negara telah terserlah dalam isu kriket Israel ini dan telah melonjakkan nama PAS kepada gerakan Islam lain di luar negara.

Reaksi masyarakat

Demonstrasi ini telah mengundang reaksi yang pelbagai daripada khalayak masyarakat dalam dan luar negara serta menjadi subjek yang diperkatakan terutama kebangkitan pelajar Islam memandang demonstrasi ini mengingatkan rakyat tentang ‘student power’ yang pernah menjadi fenomena pada awal dekad 1970-an.

Demo yang disifatkan sebagai demo kedua terbesar pembabitan pelajar selepas kebangkitan gerakan pelajar 1974 telah diulas oleh Ketua Pemuda UMNO, Zahid Hamidi dengan penuh emosional mendakwa "PAS telah melacurkan pelajar demi kepentingan politik". Nah, inilah “true colour” Pemuda UMNO dalam melihat isu ini yang sememangnya hanya menjadi pak angguk kepada pemimpin UMNO.

Zahid seterusnya mendesak Kementerian Pendidikan “jangan bertolak ansur dengan pelajar yang terbabit dalam demonstrasi itu, termasuk menggantung pengajian atau menyingkirkanya". Ketua Pemuda Umno itu juga mendakwa ada guru terbabit dalam demo dan seterusnya, “meminta Menteri Pendidikan, Najib Tun Razak mengambil tindakan tatatertib, termasuk memecat guru berkenaan daripada menjalankan tugas sebagai pendidik”. Di antara guru penjawat awam yang terlibat dengan bantahan itu ialah Ustaz Misbahul Munir dari Bagan Datoh (Kubu Zahid Hamidi Sendiri).

Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) telah membidas kenyataan Zahid yang tidak peka kepada isu ummah ini. “Sebagai Muslim, pelajar mempunyai hak menyatakan perasaan benci terhadap regim Yahudi yang penuh kezaliman dan keganasan itu,” ujar pimpinan PUM yang turut terusik dengan kenyataan Zahid.

Seorang Pengamal sosial tersohor, Rustam A. Sani memberikan pandangan yang menarik dalam menyikapi isu ini dalam kolumnya:

“Saya kira, pihak penganjur kejuaraan kriket tersebut tentulah amat kuat pengaruhnya terhadap pemerintah. Mereka bukan sahaja berhasil memperoleh keizinan membawa pasukan kriket Israel ke negara ini, tetapi tindakan mereka itu malah dipertahankan oleh Perdana Menteri."

Bantahan pasukan kriket Israel itu kini telah berputar selama 10 tahun dalam sejarah dan masa yang pantas ini juga telah merakamkan banyak cerita suka dan duka. Ramai juga pelajar yang terlibat dengan bantahan kriket ini telah menjadi pemimpin PAS atau pun aktivis parti pada hari ini.

Ustaz Hilmi Ghazali (Ketua Pemuda PAS Sungai Petani), Ustaz Kamal Ali (Terengganu),Roslan Mohd Zain (Kelantan), ratusan yang lain aktif di peringkat kawasan dan cawangan yang tidak mampu disenaraikan dalam tulisan singkat ini.

Ada juga alumni demonstrasi ini mula membina nama dalam NGO seperti Jamaluddin Elias (YAM), malah cukup mengharukan ada pihak polis yang diberi hidayah selepas peristiwa tersebut malah akhirnya aktif sebagai penggerak PAS. Beberapa tahun lepas penulis dijemput berceramah di sebuah Surau di Seri Kembangan, selepas membicarakan sejarah Perang Khaibar yang berlaku di zaman Nabi s.a.w., perang Islam dan Yahudi serta mengimbas tragedi Ops Kriket.

Dua orang bekas polis (termasuk bekas SB) telah mendedahkan bahawa mereka di antara polis yang terlibat dalam peristiwa 4 April itu. Ramai juga alumni yang telah berkelana ke alam abadi, antaranya Pak Din Hancur, Abang Din Kubur Maras, malah ada yang setia dengan setiap demo seperti Dr. Hatta dan Pak Amjal.

Ayuh para alumni 4 April 1997, kita berhimpun di Melewar pada 7 April ini untuk mempertautkan kembali ukhuwwah dan mengilas kembali ingatan silam sebagai cerminan kepada kita hari ini.

Sambutan bulan penerangan PAS peringkat Negeri Johor dipenuhi pelbagai program

MUAR, 18 Mac (Hrkh) – Berbagai acara telah diadakan sempena sambutan bulan penerangan PAS peringkat Negeri Johor baru-baru ini. Selain ceramah, turut diadakan program mengedar risalah, sumbangan kepada mangsa banjir dan juga dialog dengan 100 pekerja sebuah syarikat yang dibuang kerja baru-baru ini.

Majlis pelancaran program sehari ini telah disempurnakan AJK PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik, manakala majlis penutupnya pula oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Hadir sama pada majlis ini Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfods Mohamad, Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussein, Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, YDP PAS Muar, Ustaz Abu Bakar Lajat serta lain-lain pimpinan PAS negeri dan kawasan

Semasa berucap pada majlis ini, Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki, berkata, program seumpama ini diadakan di seluruh negeri bagi meningkatkan semangat juang ahli dan penyokong PAS, lebih-lebih lagi dalam suasana pilihan raya umum Ke-12 sudah semakin hampir.

Selain itu katanya, program ini juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan ahli di semua peringkat di samping berusaha menyebarkan mesej perjuangan PAS kepada rakyat.

Justeru katanya, PAS mesti turun ke akar umbi bagi memberi penerangan dan penjelasan kepada seluruh rakyat, sama ada melalui ceramah, mengedar risalah atau apa juga kaedah yang bersesuaian dan usaha berterusan hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa.

“Adalah diharapkan melalui berbagai pendekatan yang dilakukan ini rakyat akan lebih mengenali serta dapat menerima PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai pilihan mereka," jelasnya lagi.

Kenaikan gaji kakitangan awam, kerajaan jangan ambil kesempatan

BAGAN DATOH, 10 Mac (Hrkh) - Kakitangan awam diingatkan tidak merasa 'terhutang budi' kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sehinggakan terpaksa menggadaikan prinsip menentang penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan oleh BN ke atas rakyat negara ini.

Peringatan itu dinyatakan oleh Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, Misbahul Munir Haji Masduki, mengulas tentang kemungkinan lebih satu juta kakitangan awam dijangka menikmati kenaikan gaji pada tahun ini.

Baru-baru ini Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi berhubung kenaikan gaji dan Abdullah telah memberi petanda positif kepada kakitangan awam.

Menurut Presiden Cuepacs, Omar Osman, Perdana Menteri menyifatkan cadangan kenaikan gaji itu amat wajar memandangkan kali terakhir gaji kakitangan awam disemak 15 tahun yang lalu pada 1992.

Menurut Omar Osman, Cuepacs berharap kenaikan gaji itu dapat dilaksanakan pada 1 Mei ini sempena Hari Pekerja dan sambutan 50 tahun kemerdekaan sebagai penyintik semangat kepada kakitangan awam untuk bekerja lebih kuat.

"Kita amat mengalu-alukan kenaikan gaji kakitangan awam, sepatutnya dahulu lagi sudah dinaikkan gaji," ujar beliau.

Di samping itu, beliau mengingatkan kerajaan BN supaya tidak menjadikan kenaikkan gaji tersebut sebagai `senjata' untuk `memikat dan memperdayakan' kakitangan awam agar memilih BN pada pilihan raya umum ke-12 nanti.

"Kenaikan gaji itu hak kakitangan awam, jangan sampai ia diambil kesempatan oleh pemimpin-pemimpin BN untuk 'meracun' pemikiran kakitangan awam agar 'berterima kasih' kepada BN dan mesti memberikan sokongan kepada BN untuk berkuasa semula ," katanya.

Kakitangan awam perlu berkhidmat dengan jujur dan amanah serta melipatgandakan lagi usaha memajukan negara, bukannya `berkhidmat untuk BN, jelasnya.

Seks bebas di kalangan pelajar, bukti kerajaan tidak peka

IPOH, 27 Feb (Hrkh) - Kajian yang dibuat oleh Universiti Kebangsaan (UKM) yang mendedahkan 886 daripada 887 gadis mengaku bersetubuh memperlihatkan betapa seriusnya gejala sosial yang melanda remaja masa kini.

"PAS sudah lama bercakap menyatakan kebimbangan tentang gejala sosial, begitu juga dengan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain, tetapi nampaknya kerajaan tidak peka, malah dalam masa yang sama `menyuburkan' lagi gejala sosial dengan pelbagai aktiviti yang menjurus ke arah itu," demikian ditegaskan oleh Setiausaha Lujnah Penerangan PAS Pusat, merangkap Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, apabila mengulas kajian yang dibuat oleh pihak UKM tersebut.

"Selama ini kita bercakap tentang gejala sosial yang membimbangkan, kita minta kerajaan menutup `pintu pintu' ke arah mengembang-biakkan lagi gejala tersebut, tetapi kerajaan `tidak endah', sekarang ini ternyata apa yang merisaukan PAS itu berlaku", katanya.

Menurut beliau, statistik yang dikeluarkan oleh UKM itu hasil kajian pihak responden amat mengejutkan dan menakutkan, sekiranya gejala ini tidak dibanteras segera, masa depan negara akan hancur akibat perlakuan remaja masa kini yang tidak bermoral.

Hasil kajian itu juga mendedahkan 98 peratus pelajar mengaku mengambil dadah, 98 peratus juga terlibat dengan kongsi gelap dan 97.3 peratus terdedah dengan bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr Khaidzir Islam, turut mendedahkan didapati pelajar perempuan berumur dalam lingkungan 15 dan 16 tahun adalah paling berisiko terjerumas dalam pelbagai masalah disiplin termasuk untuk mencuba melakukan hubungan seks buat pertama kali.

"Kerajaan sebenarnya tidak serius membanteras gejala sosial kerana `pintu-pintu' ke arah kemaksiatan terbuka luas, macam mana gejala sosial dapat dibanteras.

"Jika kerajaan serius untuk mengekang gejala sosial daripada berlaku, ianya tidak sekadar mengadakan program yang berfaedah kepada remaja-remaja, tetapi dalam masa yang sama membiarkan unsur-unsur negatif berkembang ," tambahnya.

Menurutnya, program `amar makruf nahi mungkar' perlu diadakan selalu, di samping mengadakan kursus dan latihan yang menjurus kepada kebaikan memang digalakkan, tetapi program berbentuk mungkar tidak sepatutnya dibiarkan, konsert-konsert hiburan yang melalaikan yang menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan mesti dihentikan segera dan pusat-pusat hiburan yang menyuburkan maksiat mesti ditutup.

Sehubungan itu, jika Kerajaan BN tidak mampu membanteras gejala sosial, rakyat perlu bertindak dengan menggunakan kuasa yang ada pada mereka pada pilihan raya umum ke-12 nanti untuk menukar kerajaan yang mampu berbuat demikian dengan memilih PAS dan parti-parti pembangkang yang lain menerajui negara, tegasnya.

Syuhada demokrasi dan budaya kagum

Ahmad Lutfi Othman

Sukar menjangka apa yang paling terkesan oleh setiap ahli parti yang berkunjung ke Kompleks PAS Kedah sempena muktamar lalu. Memang dewan persidangan dan hiasan dalamannya memukau, sementara muktamar kali ini dianggap penting untuk menjana semangat dan kekuatan baru berdepan pilihan raya umum ke-12.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Kehadiran tidak mengecewakan, malah sambutan ceramah Anwar Ibrahim bersama Tok Guru Nik Aziz dan Salahuddin Ayub menandakan Kedah tetap kubu PAS meskipun Ustaz Fadzil Noor tiada bersamanya lagi. Lebih penting penduduk sekitar terasa akan perhimpunan besar itu, tidak sepertimana muktamar di Kelantan selepas pilihan raya 2004 yang kelihatan kurang didekati masyarakat setempat.

Jika faktor Anwar menjadi pertimbangan utama untuk menentukan tarikh pilihan raya, ditambah persengketaan makin memuncak antara Mahathir dan Abdullah Badawi, countdown sudah boleh bermula kerana dijangka pilihan raya ke-12 nanti tidak akan melewati April 2008. Tentunya Umno-BN tidak mahu diasak ke dinding, justeru, perkiraannya lebih awal lagi, mungkin sekitar suku ketiga 2007, yakni tidak lebih 20 bulan lagi, satu tempoh yang relatif singkat.

Beberapa pemimpin PAS menyuarakan bahawa kekuatan parti harus bersandarkan potensi dalaman, bukan mengharapkan limpahan kekacauan dalam parti lawan. Benar dan benar sekali, namun seperti ucapan wakil Perak, Misbahul Munir Masduki, yang memetik The Art of War, bahawa seorang panglima yang bijak mesti memanfaatkan sumber dan tenaga musuh. Pilihan raya 1969, 1990 dan 1999 membuktikan krisis keyakinan kepada Perikatan dan BN menyumbang kemenangan oposisi.

Apa pun rezeki tidak datang menggolek atau hanya menurut giliran masa. Tidak semestinya pilihan raya yang tiada persempadanan semula akan membawa kejayaan. Kita harus mencipta sejarah dan bukannya mengulangi rutin. Misalnya, mampukah PAS Kedah yang jelas "dicincang" SPR khususnya di kawasan Parlimen (sehingga penguasaan lapan kerusi pada 1999 tinggal satu di Pendang) dapat membuat kejutan jika senario kini tidak berubah dan mood pengundi bukan Melayu terus terikat dengan BN?

Saya dapat memahami kemarahan wakil Kedah, yang juga bekas wartawan Harakah, Zulkifli Yahya yang tidak dapat menerima pendekatan lunak wakil Kelantan, Cikgu Wan Abd Rahim Abdullah. Baginya SPR hanyalah salah satu jentera kempen bagi Umno-BN dan tidak pernah bertindak bebas. Apabila saat memerlukan maka SPR tidak lebih perkakas dan alat BN, sedang di waktu berbeza pengerusinya bijak bersilat kata-kata. Dari awal saya kira Pengerusi SPR patut diusulkan untuk dipecat kerana Perlembagaan menggariskan beliau perlu mendapat kepercayaan umum.

Lontaran idea Misbah tentang budaya kagum aktivis dan pimpinan PAS terhadap kejayaan rakan-rakan gerakan Islam luar negara juga patut diberi perhatian. Apabila teman-teman di Turki menang kita berpaling ke sana, selepas PKS mencatat sejarah di Indonesia, pendekatan di sini pun mahu ditukar. Keadaan sama berlaku merujuk kemenangan Ikhwan di Mesir, Hamas di Palestin, juga Ahmadenijad di Iran.

Sambil mengakui keperluan untuk berubah dan belajar daripada orang lain, adalah wajar kita berpegang dengan tradisi dan pengalaman sendiri. PAS sudah cukup lama bergumpal, bergelut dan berperang di wilayah ini; usah mudah terpengaruh dan kaget dengan silauan kecemerlangan orang. Tokoh silam kita juga menyimpan permata untuk digali.

Isu pemerkosaan terhadap demokrasi kerap diulang tayang, namun jalan keluar masih dilingkari kekeliruan dan keserabutan. Apa lagi tiada keazaman politik yang tinggi untuk merubah. Memang segalanya serba sukar. Meragut kebebasan dan hak yang hilang perlu stamina berterusan, di samping arif benar pelbagai kaedah untuk merebutnya kembali.

Mungkin dalam hal ini kedegilan Mahathir menuntut setiap jawapan yang dicarinya boleh dicontohi. Atau apakah kita memerlukan pengorbanan syuhada atas perjuangan memulihkan demokrasi ini sebelum satu lonjakan baru tercapai?

II. Menagih ketangkasan mencipta perubahan

APA pun rumusan muktamar lalu, Kompleks PAS Kedah yang tersergam indah itu tetap berjaya menyuntik keyakinan baru, sekali gus memberi amaran akhir(!), buat pemimpin, aktivis dan anggota PAS, bagi mendepani cabaran dan gugatan yang lebih sengit sifatnya, selepas "disembelih hidup-hidup" pada pilihan raya Mac 2004.

Ahli-ahli di peringkat bawah sudah membuktikan, begitu juga para simpatisan yang banyak berkorban, dan Kedah Darulaman merakam sejarah unik parti. Banyak tragedi berakar di sini, sebut saja Memali, Lubuk Merbau, Muassasah Darul Ulum. Bukan lagi tinta emas yang melakarnya tetapi pena berdarah menunjuk arah!

Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor menjadi saksi sikap murah hati penyokong jamaah, dan kesediaan mereka untuk berkorban apa saja, asalkan segala sumbangan tidak disia-siakan. Kesederhanaan perwatakan Almarhum bekas Presiden PAs itu menjadi azimat penerus perjuangan, terutama buat warga Kedah, yang mengimpikan satu perubahan besar dalam pilihan raya akan datang.

Selain aroma kenduri kawah yang tidak mudah dilupakan, perbahasan perwakilan yang ditanggapi pelbagai pandangan (ada yang mendakwa hambar, tidak kurang mengkritik ucapan dasar itu sendiri), namun hakikatnya, beban yang tergalas di bahu pimpinan dan penggerak parti perlu dilunasi dalam kadar segera.

Suara kebimbangan serta gema kerisauan bukan bisikan dan rahsia lagi. Perubahan ditagih, kelesuan mahu dilenyapkan. Ahli-ahli menuntut rasa pertanggungjawaban kepemimpinanh, bukan saja untuk berani meredah risiko, tetapi tangkas dan bijaksana mengatur rentak dan langkah. Usah teragak-agak tapi elakkan gopoh melulu.

Slogan "Pulihkan demokrasi" jangan hanya tinggal slogan kosong tanpa pengisian mantap. Ramai mengakui perdebatan mengenainya hambar, malah ada mendakwa "hilang punca", tidak berjaya mencetuskan gelombang baru yang dinanti, dan mungkin ramai masih lelah tidak bertenaga untuk merubah realiti kekecewaan kepada persiapan mantap mental dan fizikal.

Menuntut padang sama rata sebelum pilihan raya ke-12 hanya mimpi jika segala potensi kekuatan tidak digembleng. Bagi saya, ia tugas paling sukar dan perit kerana penguasa tidak akan memberi ruang jika ilihat boleh menggugat kedudukan selesa mereka.

Perdana Menteri yang kini resah berdepan asakan Mahathir mungkin tidak memandang sebelah mata pun jika teriakan pembangkang (PAS) masih terperosok di markas-markas parti sedang rakyat terus tidak ambil peduli. Ya, siapa mahu ambil kisah tentang "demokrasi yang disembelih" kalau aktivis pembangkang sendiri jarang menghiraukannya, malah tidak bersatu hati mengenainya.

Mesej sudah disampaikan di muktamar lalu, yang tinggal, soalnya, siapakah yang akan bangun menyahutnya dahulu, jika mahu realiti sekarang tidak tinggal suram dan kelam, dan pilihan raya ke-12 akan terus merakamkan lagi kisah sedih buat pembangkang!

III. Hikmah uzur

BENAR, , tidak wajar masalah peribadi dihebohkan, apatah lagi soal sakit pening yang menjadi asam garam kehidupan. Tapi, itulah hakikatnya, selepas empat hari mengikuti muktamar di Kedah, negeri kedua terkuat buat PAS, saya terpaksa memendam rasa apabila terbaring keuzuran.

Cukup derita melihatkan begitu banyak isu politik muncul satu demi satu sedangkan pena kehilangan dakwat. Muktamar banyak menyimpan rahsia yang perlu diselongkar. Serangan Mahathir terhadap Abdullah Badawi bagaikan perisytiharan perang yang menagih korban. Dan pastinya senario politik muram sebelum ini akan bertukar wajah.

Dead-line Harakah tiba ketika denyut sakit di kepala memuncak. Segala catatan dan nota di Dewan Fadzil Mohd Noor, tidak mampu diluahkan kembali. Manakala rutin dua minggu sekali mengedit Harakah tidak tertunai. Pak Shukur Harun, Pengarang I, pula di hari akhir menjelang persaraannya. Kepada teman-teman, seperti LanH dan Rashidi Hassan, tugasan diagihkan.

Rasa tidak puas hati sesetengah perwakilan terhadap prestasi kepemimpinan parti, bagi saya, juga satu isyarat jelas bahawa Harakah perlu berubah, dan seperti kata Husam Musa, perlu diperkasakan. Sejarah mencatatkan, Harakah bukan lagi sekadar organ parti, malah akhbar alternatif buat semua. Justeru, petugasnya harus mampu menyahut cabaran memikul amanah berat itu.

Harakah lahir menjelang pemilihan April 1987 menyaksikan perang besar Team A - Team B. Jualannya meningkat mendadak selepas Anwar Ibrahim dipecat pada September 1998. Peranannya untuk menempatkan suara terpinggir cukup berkesan sekali. Dan tidak mustahil, selepas media milik pemerintah menggelapkan berita Mahathir nanti, apatah lagi memburukkannya, Harakah kembali dicari.

Bukan mahu mengadu-domba kerana Umno tidak memerlukan pihak luar untuk melaga-lagakan sesama mereka. Cukup untuk menyediakan gelanggang agar rakyat tidak sekadar membaca laporan sebelah pihak, apatah lagi yang didedahkan Mahathir (dan dijangka banyak lagi susulannya selepas ini, khususnya berkaitan Khairy?) adalah isu-isu kepentingan rakyat. Soal apa motif Mahathir bukan isunya kerana rakyat perlu maklumat jelas tentang perkara berbangkit.

Ya, sesekali baik juga tidak dibebani tugas menyusun bahan Harakah dari muka ke muka; sempat juga mencoret satu dua idea walaupun secara terlompat-lompat!

IV. Akhbar alternatif milik semua

Harakah lahir ketika PAS dirundung malang selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum 1986. Memang tidak terlalu sukar menerima kepedihan itu jika ia dijalankan secara bebas, adil dan telus. Namun ramai masih ingat bagaimana kempen BN secara tidak beradab, terutama memperalatkan media, termasuk kartun-kartun memburukkan PAS dan pemimpinnya.

Bukan mudah menerbitkan sebuah akhbar, apatah lagi ia organ parti.Alhamdulillah, Harakah berjaya meredah segala halangan, hambatan dan gugatan. Memastikan kandungannya mengikut kehendak parti, pemimpin dan anggotanya, memang satu hal yang sulit, sedangkan menguruskan Harakah dari segi kewangan dan pentadbiran ternyata lebih sukar.

Kejayaan Harakah mencapai kemuncak dalam era reformasi selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat tidak semudah disangka. Asas penerbitannya,yang diperkukuh 12 tahun sebelum itu, melalui liku-liku tajam. Di samping cerita kegemilangan, Harakah juga menyimpan seribu satu kisahduka dan pedih.

Apa pun, kini bukan masa untuk bernostalgia atau merintih pilu. Sekatan kebebasan bersuara langsung tidak berkurang walaupun perdana menteri bertukar ganti. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam diam dan tawamesranya, tetap menikam dan menekan.

Kekerapan Harakah yang dipancung menjadi dua kali sebulan seperti sukar dikembalikan, walaupun untuk terbit seminggu sekali. Soalnya, apakah pimpinan PAS sudah menggunakan segala saluran dan pendekatan untuk memastikan Harakah diterbitkan paling kurang dalam bentuk mingguan?

Memang Harakah lidah rasmi parti, namun tanggungjawab sosialnya sebagai akhbar alternatif no. 1 memerlukan komitmen lebih menyeluruh. Rakyat dinafikan hak untuk mendapat laporan media yang adil dan terbuka, semuanya dikongkong dan dipasung. Harapan rakyat tertumpah hanya kepada Harakah.

Justeru, bukan sekadar petugas Harakah - daripada Anggota Jamaah Pengarah kepada kakitangan lainnya - perlu memikul amanah ini, malah setiap anggota dan pimpinan PAS, wajar bekerjasama menjayakan kempen "Satu Keluarga Satu Harakah", sebagai salah satu usaha terkini memantapkan kedudukan Harakah yang berdepan pelbagai mehnah tribulasi.

Kalau pilihan raya 1986 berjaya mencetuskan fenomena baru politik Malaysia dengan kelahiran Harakah, maka tidak mustahil kemurungan pilihan raya 2004 dapat melahirkan semangat dan azam baru, dengan memunculkan Harakah yang lebih segar dan menarik, khususnya sempena menyambut ulangtahunnya yang ke-20, April 2007.

Sesungguhnya, Harakah bukan lagi dilihat sebuah akhbar semata-mata tetapi sudah dianggap satu institusi berpengaruh dalam pergolakan politik negara. Maknanya, bagi teman-teman sekerja di Harakah, kita tidak boleh berpaling lagi, harapan pembaca terlalu besar untuk disesiakan.

Kritikan pedas ke atas pimpinan PAS

ALOR SETAR, 8 Jun (Hrkh) - Sidang Muktamar PAS hari ini dihidangkan dengan kritikan yang pedas kepada pimpinan PAS lebih-lebih lagi setelah muktamar terdahulu menyaksikan perubahan dalam saf kepimpinan PAS Pusat.

Dalam sesi perbahasan ucapan dasar, perwakilan Melaka, Ashraf Mukhlis berkata, meskipun perubahan berlaku dalam saf kepimpinan kira-kira setahun lalu, PAS Melaka tidak nampak sebarang perubahan dalam pendekatan mahupun tindakan yang dibuat.

Ini kerana banyak isu yang dibawa oleh PAS selama ini diambil secara sambil lewa oleh pimpinan PAS Pusat, katanya.

Isu minyak tidak mampu dipertahan?

Walaupun isu kenaikan harga minyak dan tarif elekftik sangat popular tetapi pimpinan PAS tidak mampu untuk mempertahankan isu itu sehingga mendapat satu natijah yang sangat besar kepada Islam dan rakyat, ujarnya.

Beliau turut kesal dengan sikap pimpinan PAS yang selama ini mengadakan hubungan dengan pimpinan gerakan antarabangsa tetapi hubungan itu gagal untuk diterjemahkan dalam PAS sendiri.

"Kita dapat melihat tidak ramai pimpinan gerakan Islam di seluruh negara yang menjadi kebanggaan PAS hadir untuk meraikan perasmian muktamar tahunan PAS semalam. Dimana wakil gerakan Hamas, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang kita agung-agungkan begitu juga dengan wakil jemaah Islami Pakistan," katanya.

Tambah beliau, ini kerana setiap kali pertubuhan tersebut mengadakan muktamarnya, pimpinan PAS tidak pernah ketinggalan menghantar wakil di peringkat tertinggi untuk menghadirinya.

Bukan sahaja pimpinan gerakan antarabangsa tetapi lebih malang parti yang sama dengan PAS di negara ini terutama daripada Barisan Alternatif dan NGO turut tidak hadir meraikan perasmian muktamar.

Peranan Lajnah Pendidikan dipertikai

Ashraf yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda Melaka turut mempersoalkan peranan Lajnah Pendidikan PAS Pusat yang tidak dapat memberi kesan yang baik kepada rakyat.

Menurut beliau, lajnah itu sangat penting kerana banyak isu pendidikan seperti isu penggunaan bahasa Inggeris dalam matematik dan Sains, isu seks di peringkat sekolah dan gejala sosial malangnya isu itu tidak ditangani dengan serius.

Beliau berkata, lajnah itu sanggup pergi ke Sudan sedangkan dalam negara banyak isu yang melibatkan anak orang Islam dan anak orang melayu tidak ditangani sebaiknya.

"Apakah lajnah ini mahu melihat anak bangsa Melayu musnah bangsanya dan bahasa Melayu yang sememangnya diiktiraf di dunia sepatutnya diambil sebagai satu medan penting," tegasnya.

Beliau menjelaskan, jumlah bahasa dunia sebanyak 6000 bahasa manakala penuturnya berjumlah 50 juta orang termasuk penggunaan 20 bahasa iaitu bahasa Melayu.

Katanya, jumlah penutur bahasa Melayu sebanyak 280 juta dan bahasa Melayu di tempat kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris, Cina, Hindi dan Sepanyol.

Tambah beliau, sepatutnya dengan data yang begitu hebat lajnah Pendidikan perlu gunakan untuk menarik perhatian rakyat supaya dapat menekan kerajaan dan gagalkan pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam Sains dan matematik.

Menurutnya, PAS Melaka mencadangkan Lajnah pendidikan mengadakan hubungan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah berumur 50 tahun tetapi berasa bimbang dan kecewa kerana terpaksa berjuang sendiri untuk terus memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan ilmu.

PAS Perak turut serta hentam pimpinan

Perwakilan dari Perak, Misbahul Munir Masduki menegaskan kekuatan PAS adalah menguasai rakyat hingga ke akar umbi.

"Pimpinan harus ingat rakyat wajar didekati khususnya golongan marhain. Penderitaan mereka harus dirasai.Mereka hanya mahu didampingi. Kita seharusnya menunjukkan simpati dan hulur sumbangan supaya mereka merasai kehadiran PAS,"katanya.

Dalam ucapannya Misbahul juga menyentuh perubahan dalam pimpinan yang berlaku dalam muktamar yang lalu yang dilihatnya tidak membawa perubahan yang besar untuk parti.

"Perwakilan buat perubahan memilih pimpinan muda tetapi sekarang kita tidak melihat anjakan besar untuk menuntut perubahan besar kepada rakyat.

Tunggu Pak Lah berubah tetapi pimpinan PAS tidak berubah?

"Kita tunggu perubahan Pak Lah, tapi kita yang diamanah perwakilan tidak nampak perubahan untuk dilihat 'repackaging, rebranding' jangan hanya ritorik semata-mata,"katanya.

Katanya lagi, lajnah-lajnah dalam parti masih melakukan program tradisi tanpa menilai tambah.Program-program yang diadakan katanya mesti melangkaui kelompok terpinggir dan terasing.

"Golongan alim ulama searusnya turun dari masjid bertemudengan rakyat, hulurkan senyuman dan jangan jadi diri kita suci untuk disentuh,"katanya.

Beliau juga mempersoalkan adakah jumlah ukuran sebenar dinilai melalui program yang banyak serta jumlah kehadiran sesuatu program.

PAS perlu stamina tinggi untuk perjuangan panjang

Katanya, PAS perlu stamina yang tinggi untuk perjuangan yang panjang. Isu yang diketengahkan PAS juga perlu diurus sebaiknya untuk mewujudkan gelombang kesedaran rakyat

Justeru beliau menyarankan supaya PAS menyediakan satu mekanisma supaya setiap ahli PAS dari peringkat pimpinan hingga ahli biasa mendapt bermanfat untuk rakyat.

Dalam pada itu beliau juga menyentuh tentang pimpinan dalam parti yang lebih cintakan kuliah tetapi tidak suka menghadiri mesyuarat.

"Kita mesti bezakan kepentingan, hinggakan mesyuarat dan program parti diabaikan kerana mengikuti kuliah,"katanya.

Sementara itu, beliau juga menegaskan 'penyakit kedua' dalam PAS yang cepat mengkagumi kemenangan orang lain.

"Apabila kita mendengar kemenangan dan kehebatan kumpulan tertentu, kita segera berkejar ke tempat tersebut seperti kita kagum dengan kemengan Hamas.Tapi kita hanya mengkagumi semata-mata tetapi apabila kita balik ke medan perjuangan kita tidak berbuat apa-apa.

"Kita jangan jadi parti kain rentang,lambang semata-mata dan jaguh di kandang sendiri tetapi tidak melakukan sebarang tindakan. Beku di markas sendiri.Peranan markas PAS juga mesti diubah dan menjadi pusat komuniti sosial," tegasnya.

Imej PM pulih selepas kes memorandum 9 menteri?

TEMERLOH 26 Jan (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki menyifatkan imej Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Badawi berjaya dipulihkan melalui isu memorendum sembilan menteri bukan Islam kepada perdana menteri baru-baru ini.

Menurutnya, dengan isu tersebut Abdullah berjaya digambarkan sebagai amat tegas sekali gus dinobat sebagai penyelamat oleh partinya manakala media harian menyiarkan gambar Abdullah dengan memek muka yang masam / marah di muka hadapan akhbar berbahasa Melayu.

Jelas Misbah, apa yang dipertahankan Umno terhadap desakan pindaan Perlembagaan Persekutuan Pasal 121 (1a) itu tidak lebih daripada apa yang diperjuangkan parti itu, iaitu mengekalkan undang-undang sedia ada dan ia tidak mungkin lebih daripada itu.

Misbah melihat imej Abdullah dapat dipulihkan untuk menyaingi imej Timbalannya yang sentiasa memenuhi ruang media sepanjang ketiadaan Abdullah di dalam negara.

“Melalui isu memorandum itu juga membolehkan Abdullah ditonjolkan sekali gus menenggelamkan imej timbalannya,” ujar beliau.

Bagi menteri-menteri bukan Islam, mereka juga memperolehi sanjungan dari kalangan penyokong kaum mereka kerana telah melaksanakan tanggungjawab terhadap kaum mereka dengan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri mendesak pindaan terhadap perlembagaan negara.

“Di mata penyokongnya, imej menteri-menteri terbabit amat tinggi kerana telah melaksanakan tanggung jawab sebagai pemimpin.

“Penyokong mereka tidak akan mempersoalkan apa yang telah mereka buat sekali pun gagal dalam usaha mendesak Perdana Menteri meminda Perlembagaan tetapi sokongan Ketua Wanita Umno dikira sudah memadai bagi menteri-menteri terbabit,” katanya.

Mengenai isu Nonya Tahir yang dihebohkan sebagai bukti kemampuan Mahkamah Syariah memberi keadilan, Misbahul berkata, kes Nyoya Tahir itu tidak membuktikan keadilan sebaliknya menyerlahkan kegagalan kerajaan Umno menyelamatkan Aqidah umat Islam.

“Kes ini bukan soal keadilan tetapi ia mendedahkan kegagalan pihak berkuasa menangani gejala murtad.

“Nyonya Tahir telah lama murtad dan dia tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa agama Islam Negeri Sembilan, katanya.