Tuesday, October 2, 2007

Double Standard Pemuda UMNO & Belia

Saya mensifatkan pemuda UMNO & sebahagian para pemimpin belia di negara ini yang menunjuk perasaan membantah tindakan kerajaan Mynmar yang melakukan kekerasan dan keganasan terhadap rakyat yang menuntut demokrasi adalah double standard. Ini kerana dalam masa yang sama pihak polis dan kerajaan di Malaysia melakukan tindakan yang keras dan ganas ke atas rakyat dengan menggunakan gas pemedih mata, membuat tangkapan, memukul, dan yang terbaru menggunakan peluru hidup dalam tragedi Batu Buruk di Kuala Terengganu baru-baru ini. Mengapa Pemuda UMNO dan para pemimpin belia diam seribu bahasa terhadap tindakan ganas pasukan keselamatan terhadap rakyat. Rakyat Malaysia kerap diganasi oleh polis dan FRU sewaktu rakyat berdemontrasi secara aman membantah kenaikan tol, kenaikan harga minyak, berdemontrasi di hadapan kedutaan Amerika, menentang kedatangan pasukan kriket Israel dan sebagainya. Dan yang terbaru tragedi Batu Buruk yang sengaja dirancang oleh mereka. Tidak ada pemimpin pemuda UMNO dan pemimpin belia yang tampil membuat kenyataan membantah tindakan kekerasan pihak keselamatan terhadap rakyat. Adakah nilai maruah dan harga diri rakyat di negara rendah berbanding dengan rakyat di negara luar, bahkan lebih rendah berbanding dengan babi di Melaka ? yang seekor pun tidak ditembak oleh pasukan keselamatan. Inilah demokrasi ala Malaysia. Rakyat luar negara yang diganasi oleh kerajaan dibela oleh mereka, rakyat di negara sendiri yang dizalimi oleh kerajaan dibiarkan.